WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengecam Ayatollah Ali Khamenei, kerana tidak berterima kasih selepas beliau mendakwa sudah menyelamatkan Pemimpin Tertinggi Iran itu daripada dibunuh.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump mendakwa mengetahui lokasi persembunyian Khamenei dan secara peribadi menghalang tentera AS serta Israel daripada menyasarkannya.
“Saya selamatkan dia (Khamenei) daripada kematian yang sangat buruk dan memalukan, tetapi dia tidak pun mengucapkan ‘terima kasih, Presiden Trump’,” katanya.
Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi mengecam kenyataan Trump tersebut yang disifatkannya sebagai biadab dan tidak boleh diterima.
Araghchi menegaskan, jika Trump serius mahu mencapai perjanjian dengan Iran, beliau perlu menghentikan penghinaan terhadap Ayatollah dan berhenti menyakiti jutaan penyokong setianya.
“Rakyat Iran yang hebat, membuktikan kepada dunia bahawa rejim Israel tidak mempunyai pilihan selain lari kepada ‘ayah’ untuk mengelak dihancurkan oleh peluru berpandu kami,” katanya dalam hantaran di platform X, semalam.
Sementara itu, Trump turut mengugut akan mempertimbangkan untuk mengebom Iran sekali lagi sekiranya laporan perisikan menunjukkan Teheran memperkayakan uranium ke tahap yang membimbangkan.
Menerusi sidang media di Rumah Putih, beliau menegaskan akan menyerang Iran ‘tanpa ragu’ sekiranya ancaman nuklear itu disahkan.
AS terlibat secara langsung dalam konflik antara Israel dan Iran minggu lalu, apabila melancarkan serangan ke atas beberapa tapak nuklear utama menggunakan bom penembus kubu, sebelum Trump pantas mengusahakan gencatan senjata.
Semua pihak yang terlibat dalam konflik mendakwa mereka mencapai kemenangan, dengan Ayatollah memberitahu rakyat Iran bahawa Israel dan AS gagal menjejaskan program nuklear negara itu.
Sebelum ini, Trump memaklumkan beliau sedang mempertimbang penghapusan sekatan terhadap Iran bagi memberi peluang pemulihan ekonomi pantas.
Namun, beliau menarik balik usaha itu selepas mendakwa Ayatollah mengeluarkan kenyataan yang digambarkan penuh kemarahan dan kebencian.- AFP









