DALAM perjalanan seorang insan menuju kejayaan dan kematangan, sosok guru memainkan peranan bukan sahaja menyampaikan pengetahuan tetapi turut membina jiwa yang teguh, berakhlak dan berdaya saing.
Di dalam bilik darjah, guru bukan sekadar menyampaikan fakta dan teori. Lebih daripada itu, mereka menyemai nilai-nilai murni seperti kejujuran, tanggungjawab, kesabaran dan hormat-menghormati.
Proses ini sering kali berlaku dalam diam, melalui keteladanan dan pendekatan berhemah.
Seorang guru yang membina jiwa tidak akan memandang kelemahan murid sebagai kegagalan, sebaliknya peluang untuk membimbing dan membentuk. Mereka memahami setiap murid mempunyai potensi tersendiri.
Ada yang menonjol dalam akademik, ada pula yang cemerlang dalam bidang sukan, seni atau kemahiran. Guru yang membina jiwa akan berusaha mencari kekuatan murid-murid dan membantu mereka menggilap potensi tersebut sehingga bersinar.
Dalam pada itu, guru juga bertanggungjawab untuk membina kecintaan terhadap ilmu. Tugas ini memerlukan lebih daripada sekadar pengajaran rutin tetapi menjadikanya sesuatu yang menyeronokkan, bermakna dan relevan dengan kehidupan.
Apabila murid melihat ilmu itu berguna dan menarik, mereka akan terdorong untuk terus belajar walaupun di luar waktu persekolahan. Di sinilah lahirnya budaya cintakan ilmu, yang akan menjadi bekalan sepanjang hayat mereka.
Guru juga merupakan sumber inspirasi yang besar kepada murid. Ramai tokoh besar dunia, mengakui kejayaan mereka bermula daripada dorongan dan kepercayaan guru.
Selain itu, guru turut memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri dan identiti murid. Guru bukan sahaja membentuk insan berilmu, tetapi yang tahu membezakan antara benar dan salah.
Di samping itu, guru juga mendidik murid untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Dalam pengajaran mereka, tersisip nilai-nilai patriotisme, semangat perpaduan dan kepedulian sosial. Seorang guru yang sedar tanggungjawab ini akan mendidik muridnya supaya sedar pentingnya menjaga keharmonian masyarakat, menyumbang kepada negara dan menghormati kepelbagaian budaya serta agama.
Hubungan antara guru dan murid juga cerminan kepada kasih sayang dan empati dalam pendidikan. Guru yang berjaya membina hubungan positif dengan murid akan lebih mudah menyampaikan ilmu dan membentuk jiwa. Murid akan merasa dihargai, didengari dan disokong. Ini akan meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan tekanan emosi yang mungkin mengganggu pembelajaran.
Dalam masyarakat moden yang semakin terdedah kepada pelbagai anasir negatif, guru menjadi benteng yang membantu murid berpegang teguh kepada nilai-nilai mulia. Nasihat, teguran dan bimbingan menjadi penyelamat kepada seorang remaja yang hampir terjerumus ke kancah kerosakan moral dan sosial.
Pengorbanan guru dalam membina jiwa dan ilmu sering kali tidak terlihat mata kasar. Mereka menghabiskan masa selepas waktu sekolah untuk menyediakan bahan pengajaran, menanda buku latihan, mengadakan kelas tambahan dan menjadi pendengar setia kepada permasalahan murid. Mereka juga menghadapi cabaran seperti kekangan masa, tekanan sistem pendidikan dan beban kerja yang tinggi. Namun begitu, guru tetap setia berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Guru turut perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan pendekatan pengajaran baharu. Walau apa pun bentuk kemajuan, peranan guru sebagai pembina jiwa dan ilmu tetap tidak dapat digantikan oleh mesin atau sistem automatik. Sentuhan kemanusiaan, keprihatinan dan keikhlasan seorang guru itulah yang membentuk nilai sebenar dalam pendidikan.
Penting untuk masyarakat mengiktiraf dan menghargai jasa guru secara dalam membina ekosistem pendidikan yang menyokong dan memperkasakan peranan guru.-UTUSAN
NOR AZIRAH AR
SMK Dengkil,
Selangor










