DALAM era digital yang semakin berkembang pesat, e-sukan tidak lagi dilihat sebagai sekadar hobi atau aktiviti rekreasi kerana semakin banyak sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil langkah menjadikannya sebagai sebahagian daripada struktur kokurikulum.
Pakar pendidikan melihat e-sukan sebagai platform yang berpotensi meningkatkan penglibatan pelajar dalam pembelajaran, selain membina kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan komunikasi.
Perkembangan e-sukan turut membuka peluang kerjaya dalam pelbagai bidang seperti pembangunan permainan, penyiaran digital, pengurusan acara dan teknologi maklumat. Beberapa IPT memperkenalkan program akademik khas dan biasiswa dalam bidang ini. Ia menandakan pengiktirafan terhadap potensi e-sukan sebagai bidang profesional.
Laporan Universiti Kebangsaan Malaysia menyokong pandangan ini dengan menyatakan e-sukan kini menjadi platform profesional yang berupaya mengubah kehidupan pelajar dengan menyerlahkan bakat dalam persekitaran yang lebih terkawal dan terarah.
Walaupun wujud persepsi negatif terhadap permainan video yang dikaitkan dengan ketagihan, penurunan prestasi akademik dan kesan negatif terhadap kesihatan fizikal serta mental., namun kajian Sri Rahayu Rahamad daripada Kolej Komuniti menunjukkan pelajar yang terlibat dalam e-sukan sebenarnya bermotivasi untuk menjana pendapatan dan tidak menunjukkan penurunan dalam prestasi akademik.
Satu lagi cabaran besar adalah kekurangan infrastruktur yang sesuai di peringkat sekolah seperti ketiadaan peralatan, sambungan internet berkelajuan tinggi dan tenaga pengajar atau jurulatih berpengalaman menjadikan pelaksanaan program e-sukan sukar dilakukan secara holistik.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan, perlu menyediakan bengkel kesedaran kepada guru dan ibu bapa, serta mewujudkan sistem pemantauan berterusan impak program e-sukan terhadap pelajar.
Kerjasama antara sekolah dan pihak industri juga perlu diperkukuh, terutama dalam menyediakan kemudahan, latihan dan sokongan teknikal.
Integrasi e-sukan dalam pendidikan mencerminkan perubahan landskap pembelajaran yang semakin bersifat digital dan berteknologi tinggi. Pendidikan tidak lagi terbatas kepada bilik darjah dan buku teks, tetapi semakin terbuka kepada pendekatan progresif yang lebih relevan dengan keperluan generasi baharu.
Permainan yang berasaskan strategi dan simulasi kini menjadi alat alternatif untuk membina kemahiran insaniah dalam suasana terkawal dan berstruktur. Sokongan menyeluruh daripada pihak kerajaan, pendidik, ibu bapa dan industri adalah kunci utama untuk memastikan inisiatif ini berjaya.-UTUSAN
MUHAMMAD ALIF IMRAN AZIZ & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia










