KUALA TERENGGANU: Pengalaman selama 40 tahun dalam bidang perubatan nefrologi melayakkan Datuk Dr. Ghazali Ahmad, 67, menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri, hari ini.
Dr. Ghazali bersara daripada perkhidmatan awam pada 2018 sebelum menyambung perkhidmatan sebagai Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan Pengurusan Penyakit Bersepadu di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau berkata, anugerah yang diterima menjadi pemangkin kepadanya untuk terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Saya rasa sumbangan saya tidak seberapa, bagaimanapun bersyukur di atas anugerah ini. Saya akan menjadikannya untuk berbakti dan memperkasa ummah kepada komuniti di sini dan global,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, di sini.
Pada majlis itu, beliau menerima sijil penghargaan, trofi dan wang tunai RM20,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dr. Ghazali yang berasal dari Kampung Penunjuk Kijal, Kemaman berkata, menerusi pengalaman dan kepakarannya yang ada boleh dikongsikan kepakaran merawat semua pesakit tanpa mengira latar belakang.
“Sebab itu penting untuk kita ada kepakaran supaya tidak perlu bergantung kepada pakar luar,” katanya yang pernah merawat pemimpin-pemimpin negara sebelum ini.
Katanya, doktor-doktor muda yang baru menamatkan pengajian perlu ikhlas berkhidmat kerana tugas sebagai pegawai perubatan adalah tugas yang murni.
“Saya akui, cabaran untuk doktor muda pada masa kini terutama dari segi penjawatan namun saya percaya jika kita ikhlas , kita akan mendapat peluang dan jawatan yang sewajarnya,”katanya. – UTUSAN











