‘Saya tidak campur urusan mahkamah’

‘Saya tidak campur urusan mahkamah’

ANWAR Ibrahim menerima buku laporan Simposium Asean Madani dari Presiden WADAH, Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman (dua, kanan) selepas merasmikan Simposium ASEAN Madani Leadership Program di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan ti­dak mencampuri urusan ke­hakiman termasuk dalam keputusan melibatkan kes di­lepas tanpa dibebaskan (DNAA), wa­laupun berdepan tekanan dan desakan daripada pelbagai pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan mengarahkan hakim membuat keputusan mengikut kehendak tertentu adalah bertentangan dengan prinsip pemisahan kuasa yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi negara ini.

“Apa yang kamu mahu? Mahu saya jadi diktator dan arahkan hakim buat keputusan ikut pandangan peribadi kamu? Atau biarkan mahkamah jalankan tugas mereka?

“Ada yang bersetuju, ada yang tidak. Tetapi inilah maksud se­benar kebebasan badan kehakiman,” katanya ketika me­rasmikan Simposium ASEAN Madani Leadership Program bertemakan ‘Memperkukuh Masa Depan ASEAN Berteraskan Wawasan Bersama’ di sini, semalam.

Menurut Anwar, kerajaan tetap berpegang kepada prinsip undang-undang dan tidak akan bertindak di luar batas kuasa eksekutif, meskipun ke­putusan-keputusan mah­ka­mah tertentu mengundang polemik di ruang awam.

Anwar berkata, kuasa Perdana Menteri tidak melangkaui bidang kuasa mahkamah atau Pejabat Peguam Negara dan sebarang campur tangan dalam proses perundangan hanya akan merosakkan asas sistem keadilan negara.

“Kalau saya masuk campur dan arahkan siapa patut dihukum atau dilepas, itu bukan reformasi, itu kediktatoran,” katanya.

Menurutnya, semua pihak untuk menghormati proses kehakiman dan tidak mempolitikkan keputusan mahkamah demi kepentingan tertentu.

Katanya, kerajaan akan terus memperkukuh institusi kehakiman dan memastikan tiada gangguan daripada mana-mana cabang kuasa dalam negara.

Mengulas lanjut, Anwar ber­kata, prinsip kebebasan ba­dan kehakiman bukan semata-ma­ta berasaskan amalan Barat se­perti yang sering disalahtafsirkan, sebaliknya telah wujud dalam sejarah tamadun Islam sejak berabad-abad lamanya.

“Prinsip ini bukan soal ikut sistem Barat. Dalam sejarah kita sendiri, keadilan ditegakkan tanpa mengira kedudukan. Maka, kita mesti kekal dalam jalur undang-undang dan bukan tunduk kepada desakan luar batas,” jelasnya.

Anwar berkata, langkah kerajaan mempengaruhi keputusan mahkamah atas alasan ‘keadilan segera’ adalah langkah berbahaya yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Sebelum ini, beberapa keputusan DNAA yang melibatkan tokoh politik termasuk bekas pemimpin kerajaan mencetuskan perdebatan dan persepsi dalam kalangan rakyat, dengan sesetengah pihak mendesak kerajaan supaya campur tangan.

Namun, kerajaan konsisten menolak sebarang penglibatan eksekutif dalam urusan mahkamah dan menegaskan bahawa reformasi sebenar ialah memperkukuh institusi kehakiman, bukan mengawalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×