PASIR MAS: Kesempitan hidup dan masalah kewangan keluarga menyebabkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli buntu memikirkan masa depannya sama ada mahu melanjutkan atau menangguhkan pengajian ke peringkat diploma di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Mohamad Daniel Ikhwan Mamat, 17, berkata, jika memilih melanjutkan pengajian, dia perlu melunaskan bayaran yuran pendaftaran sebanyak RM1,571 selain menyediakan kelengkapan serta kos pengangkutan ke UTHM.
“Awalnya, saya adalah individu paling gembira selepas menerima tawaran menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik. Saya sangat meminati bidang ini.
“Namun selepas melihat keadaan keluarga, perasaan saya menjadi berbelah-bahagi. Pendapatan ayah sebagai tukang rumah tidak menentu. Kalau ada kerja, adalah wang untuk kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui semasa menerima sumbangan dari Penyelaras 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie di rumahnya di Kampung Kubang Chenok, Tok Uban, di sini semalam.
Mohamad Daniel Hakim berkata, upah yang diterima bapanya sebagai tukang rumah hanya cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.
Katanya, selain itu, bapanya perlu menanggung perbelanjaan kakaknya yang mengikuti pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu dan adiknya di tingkatan empat.
“Sungguhpun begitu saya masih menyimpan impian menyambung pengajian dalam bidang tersebut.
“Ketika ini saya sudah menerima sumbangan komputer riba daripada UTHM. Walaupun ia memberi semangat, namun saya masih buntu memikirkan kos-kos lain yang perlu ditanggung,” katanya.-UTUSAN.










