“Mungkin doa umat Islam sedunia sudah dimakbulkan Allah SWT! Lihatlah, bertali arus anjing Tuhan menyerbu Israel. Setiap terkaman anjing Tuhan meninggalkan kesan mendalam kepada mereka.”
Episod perang Israel-Iran sudah semakin reda. Kali ini buku bertemu ruas! Israel mulai berasa tulang ketingnya kesakitan setelah dibalas terajang dengan tulang keting yang sama keras oleh Iran.
Itu baru Iran yang sudah puluhan tahun mengalami sekatan Barat. Bayangkan jika seluruh dunia Islam bersatu menyebat punggung Israel, pastinya budak kecil hingusan yang dijaga abang besar Amerika Syarikat itu akan sedar diri atau lari terkencing.
Anjing Tuhan? Apa kaitan Israel dan serangan anjing Tuhan? Ia bertitik tolak daripada sepotong bacaan doa dalam Qunut Nazilah yang sudah bertahun dibaca umat Islam berikutan penindasan berterusan Israel terhadap umat Islam di Gaza.
“Ya Allah! Hantarlah seekor anjing daripada banyak anjing ciptaan-Mu untuk memusnahkan mereka.”
Qunut Nazilah ialah doa khas dalam semua solat ketika umat Islam ditimpa sebarang bencana seperti serangan musuh, penularan wabak penyakit, kemarau dan sebagainya.
Nabi SAW pernah mendoakan kemusnahan tiga kabilah Arab iaitu Ri’lan, Dhakwan dan ‘Usayyah yang menipu Baginda SAW sehingga menyebabkan 70 orang sahabat Ansar mati dibunuh (Sahih al-Bukhari, 3781).
Tiada lafaz khusus untuk doa Qunut Nazilah dan ia boleh disesuaikan dengan situasi yang melanda.
Daripada mana pula datangnya doa agar Allah SWT mengutus anjingNya untuk memusnahkan musuh? Ia sepotong doa yang pernah Nabi SAW ucapkan kepada ‘Utbah bin Abu Lahab, sepupu Baginda sendiri yang bermaksud: Allah! Hantarlah seekor anjing daripada banyak anjing ciptaan-Mu untuk musnahkannya.”
Utbah banyak mencela dan menyakiti Rasulullah SAW serta umat Islam di Mekah. Asalnya, dia berkahwin dengan anak Rasulullah SAW yang bernama Ruqayyah.
Setelah Baginda SAW diangkat sebagai Rasul, Ruqayyah diceraikan. Padah yang menimpanya sangat dahsyat! Ketika Utbah keluar ke Syam, dia telah dibaham singa walaupun dikawal rapi ahli rombongannya (Sunan Kubra, Imam al-Bayhaqi).
Soalannya, mengapa singa dalam kisah ini dipanggil anjing? Semua makhluk yang bertukar menjadi tentera Allah SWT memusnahkan musuh-Nya seumpama anjing suruhan Allah SWT. Ia dipetik daripada perkataan Mukallibin, iaitu sebarang haiwan buas seperti anjing yang dilatih untuk berburu dalam ayat 4 Surah al-Ma’idah.
Anjing yang taat kepada tuannya akan segera bertindak apabila diberi arahan.
Semua makhluk yang bergerak memusnahkan musuh umat Islam dan musuh Allah SWT sama ada secara sedar atau tidak, boleh dianggap sebagai anjing Tuhan.
Kemaraan beberapa anjing Tuhan menerkam Zionis Israel bertali arus.
Pada Mac 2025 , dunia digemparkan dengan serangan kucing liar caracal terhadap kem tentera Israel di sempadan Gunung Harif. Sungguh, kucing ini termasuk anjing dan tentera Allah SWT!
Mei 2025 pula, Israel dikejutkan dengan kebakaran berskala besar yang memusnahkan banyak kawasan hutan mereka.
Kerugian mereka sangat tinggi dan peristiwa itu mengingatkan penulis dengan tentera Allah dalam bentuk ribut atau taufan berapi yang pernah Allah hantar memusnahkan kebun manusia yang bakhil, angkuh serta bongkak (al-Kahfi: 40-42 dan al-Qalam: 19-20).
Terbaharu, Iran pula menghujani Israel dengan paluan roket serta peluru berpandu sehingga memberikan kemusnahan besar kepada Israel.
Begitupun, ada sesetengah pihak tidak terlalu gembira dengan serangan balas Iran kepada Israel kerana menurut mereka sebelum ini Iran banyak juga terlibat membantai umat Islam bermazhab Sunni di Syria dan beberapa tempat lain melalui proksi atau sekutu mereka.
Semua berhak memberi pandangan. Namun secara peribadi penulis beranggapan Iran sudah menjadi anjing Tuhan yang agresif membaham Israel.
Saban hari, terkaman anjing Tuhan terhadap Israel semakin keras dan ganas.
Semoga ini termasuk dalam jadual Allah SWT untuk menamatkan riwayat kerajaan haram ini pada tahun 2027 sebagaimana ramalan pengasas pergerakan Hamas, al-Marhum Syeikh Ahmad Yasin.
Mengapa beliau meramal sedemikian? Anda boleh rujuk logik dan teorinya dalam rencana penulis bertajuk ‘Firasat tentang tarikh mati kerajaan haram zionis’ bertarikh 1 November 2024 terbitan Utusan Malaysia.
Ayuh umat Islam! Jangan putus asa mendoakan kesejahteraan umat Islam Palestin yang saban hari dijerut lehernya oleh Israel.
Jangan pandang remeh doa Qunut Nazilah kerana ia Sunnah saranan Nabi SAW. Biar Allah kerah tenteranya yang seluas langit dan bumi (al-Fath: 7) menjadi anjing ganas membaham kerajaan haram ini. Yakinlah! Tentera Allah SWT infiniti jumlahnya.
Firman Allah SWT bermaksud: Dan tiada yang mengetahui (siapa dan berapa jumlah) tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia (al-Muddathir: 31)-UTUSAN
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Masyarakat Pusat Bahasa UIAM









