KOTA BHARU: Lebih tiga kali menguruskan jenazah pesakit Covid 19 dalam sehari. Itu pengalaman yang perlu ditempuhi Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu sejak kebelakangan ini.
Marzuki Sikri, 37, berkata, selain kes kematian bertambah dari hari ke hari, tugasan pasukannya lebih mencabar apabila terpaksa mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) sehingga lebih lapan jam sehari bagi menguruskan jenazah pesakit.
“Ada ketika kami perlu uruskan jenazah dari siang hingga ke tengah malam dengan berpakaian PPE. Memang meletihkan dengan keadaan cuaca yang panas namun kita wajib pakai sut hingga selesai tugasan.
“Kami diamanahkan menguruskan jenazah yang berisiko ini hingga selesai, maka mahu tidak mahu kami perlu bertahan sehingga urusan pada hari itu selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Marzuki, ketika Ramadan lalu, keadaan lebih mencabar kerana kematian bertambah secara mendadak.
“Memang timbul keinsafan dalam diri memandangkan kematian pesakit ini tidak dapat diuruskan oleh keluarga terdekat. Mereka hanya mampu melihat dari jauh.
“Ada yang menangis dan hanya mampu melambai. Kita sebagai petugas juga sayu hati melihat mereka, inilah realiti yang harus ditempuhi apabila seseorang pesakit Covid-19 meninggal dunia,” katanya.
Marzuki berkata, sepanjang lebih 14 tahun berkhidmat dalam jabatan, menguruskan jenazah pesakit Covid-19 dianggap tugasan paling mencabar dan pengalaman itu akan terus terpahat dalam ingatannya.
“Saya harap masyarakat sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak diri terkena pandemik ini dan membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 di negara kita,” katanya.- UTUSAN ONLINE










