'Tiada bukti Syed Saddiq terima satu sen pun wang'

‘Tiada bukti Syed Saddiq terima satu sen pun wang’

ANGGOTA keluarga Syed Saddiq sujud di pekarangan Mahkamah Rayuan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada bukti menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima satu sen daripada wang yang didakwa daripada kes pecah membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Perkara itu merupakan antara alasan penghakiman panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabit bersalah dan hukuman penjara serta sebatan

Hakim Noorin ketika membacakan penghakiman ringkas yang mengambil masa satu jam 11 minit berkata, pihak pendakwaan bergantung kepada tindakan Syed Saddiq mengarahkan saksi pendakwaan ke-13 iaitu bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali untuk mengeluarkan wang sebanyak RM1 juta sebagai satu tindakan bersubahat.

“Persoalan utama ialah sama ada tindakan memberi arahan untuk mengeluarkan wang dipertikaikan menjurus kepada bersubahat melakukan pecah amanah. Pada pandangan kami, tindakan tersebut tidak boleh disamakan dengan tindakan mengubah atau menghapuskan sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

“Tiada juga sebarang bukti yang menunjukkan bahawa perayu (Syed Saddiq) menerima sesen pun daripada wang tersebut,” kata Hakim Noorin.

Katanya, ketika wang tersebut dikeluarkan, Rafiq Hakim sendiri menyatakan beliau tidak pernah bertanya kepada Syed Saddiq tentang cara wang tersebut hendak digunakan.

Panel terbabit menyatakan, pecah amanah hanya boleh dibuktikan sekiranya wang dipertikaikan telah digunakan bertentangan daripada telah ditentukan.

“Keterangan saksi-saksi me­nge­sahkan bahawa wang dikeluarkan telah digunakan untuk program atau aktiviti Armada. Duit yang dibelanjakan (Syed Saddiq) adalah untuk aktiviti dan kepentingan Armada sahaja. Memberi arahan untuk melakukan pengeluaran tidak termasuk dalam maksud bersubahat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihak pendakwaan akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Saya tidak ada personal (hubungan peribadi) dengan sesiapa. Saya tidak ada rasa kecewa atau suka dalam menyiasat apa-apa kes sekali pun,” katanya dalam sidang akhbar semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×