Mungkinkah akan muncul parti baharu di Malaysia?

Mungkinkah akan muncul parti baharu di Malaysia?

KEWUJUDAN parti baharu mampu menyuburkan amalan demokrasi dengan memberi banyak pilihan sekali gus mengelakkan dominasi politik oleh segelintir parti sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap politik yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah, kewujudan parti politik baharu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sejak merdeka, negara ini menyaksikan pelbagai kemunculan parti baharu mewakili pelbagai ideologi, bangsa, agama dan kepentingan wilayah.

Hal ini mencerminkan betapa suburnya demokrasi di Malaysia yang memberi ruang suara pelbagai kelompok untuk disalurkan secara sah dan berperlembagaan. Kemungkinan wujudnya sebuah parti politik baharu pada masa terdekat merupakan petanda rakyat semakin celik politik dan tidak segan untuk menyuarakan pandangan melalui platform yang lebih segar dan berani.

Antara faktor utama yang boleh mencetuskan kelahiran parti baharu ialah kekecewaan rakyat terhadap prestasi parti sedia ada. Rakyat semakin terdedah kepada maklumat melalui media sosial. Mereka mula menilai setiap dasar dan keputusan kerajaan dengan lebih kritikal. Apabila suara mereka tidak lagi didengari atau dilayan parti pemerintah mahupun pembangkang, maka akan timbul gerakan untuk membentuk wadah baharu memperjuangkan aspirasi mereka. Fenomena ini terjadi di Perancis, Itali dan Thailand dan tidak mustahil berlaku di Malaysia juga.

Selain itu, perpecahan dalaman parti-parti utama juga membuka ruang tertubuhnya entiti politik baharu. Konflik kepimpinan, perbezaan haluan politik dan ketidakpuasan terhadap hala tuju parti menyebabkan ada pemimpin atau kumpulan tertentu memilih untuk keluar dan menubuhkan parti lain.

Situasi ini bukan sahaja mencerminkan krisis kepercayaan dalam kepimpinan, malah memberi petanda pengurusan parti-parti lama perlu diperbaharui agar kekal relevan dalam arus politik semasa. Sejarah membuktikan perpecahan dalaman boleh membawa kepada kelahiran parti baharu yang berjaya mencipta pengaruh tersendiri.

Parti baharu juga mungkin muncul sebagai tindak balas terhadap kekurangan representasi sesuatu kaum, wilayah atau golongan tertentu dalam politik arus perdana. Contoh, sekiranya masyarakat luar bandar, belia atau kumpulan minoriti merasa terpinggir dalam agenda pembangunan negara, maka besar kemungkinan akan muncul parti yang mewakili suara mereka secara eksklusif. Hal ini memberi peluang kepada pengundi untuk memilih berdasarkan kepentingan kelompok mereka, walaupun ia juga berpotensi mewujudkan polarisasi yang tidak sihat dalam masyarakat pelbagai kaum.

Namun begitu, penubuhan parti baharu tidak semudah yang disangka. Ia memerlukan kekuatan jentera, sumber kewangan yang mencukupi serta kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti kepimpinan parti. Hanya parti yang benar-benar membawa gagasan segar, realistik dan mampu menarik sokongan akar umbi akan mampu bertahan.

Tanpa perancangan yang strategik dan daya tahan menghadapi kritikan, parti baharu mungkin sekadar muncul seketika sebelum lenyap ditelan arus.

Dalam era digital, media sosial menjadi senjata utama dalam membina pengaruh politik. Individu yang bijak memanfaatkan platform digital untuk menyebarkan mesej perjuangan berpotensi membina pengikut dan jaringan sokongan yang besar. Kemunculan tokoh-tokoh muda yang lantang di media sosial juga memberi petunjuk generasi baharu kini lebih bersedia untuk terlibat dalam pembentukan hala tuju politik negara melalui wadah baharu.

Tambahan pula, landskap politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperlihatkan kerapuhan gabungan politik sedia ada. Kerajaan perpaduan yang dibentuk walaupun membawa kestabilan relatif, namun masih menerima kritikan daripada pelbagai sudut. Ketidakpastian ini mendorong sebahagian rakyat untuk mencari alternatif yang lebih diyakini dan ini membuka ruang kepada parti baharu untuk muncul sebagai pihak ketiga yang menawarkan keseimbangan kepada dua blok utama yang wujud.-UTUSAN

ANIQ SYAFI ZAIMY
Universiti Multimedia
Cyberjaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×