Jangan tergesa-gesa naikkan had umur bersara

Jangan tergesa-gesa naikkan had umur bersara

BEKERJA pada usia lanjut boleh meningkatkan risiko tekanan kerja, masalah kesihatan dan keletihan mental.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, kita mula membincangkan isu umur persaraan kepada 65 tahun. Perubahan ini membawa kesan besar kepada struktur pekerjaan, ekonomi negara, kesejahteraan masyarakat serta hala tuju pembangunan sumber manusia negara.

Salah satu kesan paling ketara adalah terhadap pasaran kerja, khususnya peluang pekerjaan untuk golongan muda. Dengan menaikkan had umur bersara, kedudukan jawatan dalam sektor awam akan dipegang lebih lama oleh penjawat sedia ada, sekali gus mengurangkan kadar kekosongan jawatan. Hal ini boleh menyebabkan lambakan graduan menganggur atau pekerja muda yang terpaksa mencari pekerjaan di sektor swasta atau luar negara.

Walaupun pengalaman pekerja senior adalah aset namun masih memerlukan tenaga kerja muda yang lebih segar, berinovasi dan celik teknologi. Tanpa pekerja muda, transformasi digital atau memperkenalkan pendekatan kerja lebih moden akan terbatas.

Dari sudut fiskal pula, akan memberi implikasi kewangan. Ini kerana penjawat awam yang berkhidmat lebih lama akan terus menerima gaji, elaun serta manfaat lain seperti perubatan yang dibiayai kerajaan. Selain itu, bayaran pencen juga akan tertangguh, namun apabila penjawat akhirnya bersara, mereka akan menerima pencen dalam tempoh yang lebih singkat, tetapi mungkin dengan kadar yang lebih tinggi.

Tambahan pula, tuntutan perubatan dan penjagaan kesihatan akan meningkat. Statistik menunjukkan kos penjagaan kesihatan untuk individu berusia 60 tahun ke atas meningkat dengan ketara berbanding pekerja lebih muda. Ini akan memberikan tekanan kepada belanjawan kerajaan, terutama apabila Malaysia sudah pun berdepan isu fiskal seperti hutang negara yang tinggi.

Kajian antarabangsa menunjukkan produktiviti cenderung menurun selepas umur tertentu, khususnya dalam pekerjaan yang memerlukan tenaga fizikal, kreativiti atau keupayaan untuk mengadaptasi teknologi baharu. Mungkin wajar jika pelanjutan umur bersara hanya ditawarkan untuk bidang tertentu.

Bekerja pada usia lanjut boleh meningkatkan risiko tekanan kerja, masalah kesihatan dan keletihan mental. Pelanjutan umur bersara harus disertai dengan dasar-dasar sokongan seperti waktu kerja fleksibel, skim separuh masa atau opsyen bersara pilihan supaya dapat menyesuaikan kerja dengan tahap kemampuan masing-masing.

Pun begitu, melanjutkan tempoh bekerja boleh membantu mengekalkan tenaga kerja aktif dan mengurangkan beban tanggungan sosial.

Namun, ini juga memerlukan anjakan budaya yang signifikan. Majikan, rakan sekerja dan masyarakat perlu lebih inklusif terhadap pekerja senior, memberi mereka ruang untuk terus menyumbang tanpa diskriminasi usia. Pada masa sama, negara perlu mempersiapkan dasar-dasar yang mempromosikan ‘penuaan produktif’ degan menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat, latihan semula dan peluang kerjaya baharu untuk golongan warga emas.

Oleh itu, sebarang pelaksanaan dasar ini memerlukan kajian mendalam, perbincangan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan serta pelan pelaksanaan yang inklusif dan fleksibel.-UTUSAN

MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat
Politeknik Hulu Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×