AS uji radar baharu kesan ancaman China, Russia

AS uji radar baharu kesan ancaman China, Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kejayaan ujian sistem radar jarak jauh di Alaska yang berupaya mengesan ancaman peluru berpandu dari Russia atau China.

Ia sekali gus membuka laluan untuk sistem itu dijadikan sebahagian daripada pelindung pertahanan peluru berpandu dikenali sebagai Golden Dome.

Radar dikenali sebagai Radar Diskriminasi Jarak Jauh (LRDR) itu berjaya mengesan, menjejak dan melaporkan data sasaran peluru berpandu dalam ujian yang dijalankan pada 23 Jun lalu di Clear Space Force Station, Alaska.

Kejayaan itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan sistem pertahanan Golden Dome, sebuah program pertahanan bersepadu bernilai AS$175 bilion (RM741 bilion) yang bertujuan melindungi AS dan berkemungkinan negara sekutu daripada ancaman peluru berpandu balistik.

Radar tersebut dibangunkan oleh syarikat pertahanan utama, Lockheed Martin, sebagai komponen penting dalam sistem sedia ada iaitu Pertahanan Fasa Pertengahan Berasaskan Darat (GMD) di mana sistem ini direka bagi meningkatkan keberkesanan peluru pemintas yang ditempatkan di Alaska dan California, bersiap siaga untuk menggagalkan sebarang serangan peluru berpandu dari Iran atau Korea Utara.

Dalam ujian itu, satu sasaran khas yang dibangunkan oleh Agensi Pertahanan Peluru Berpandu AS (MDA) telah dilancarkan dari udara merentasi Lautan Pasifik Utara sejauh lebih 2,000 kilometer sebelum ia berjaya dikesan oleh sistem radar LRDR di selatan Alaska.

Lapor Reuters, ujian berkenaan dijalankan secara bersama oleh MDA, Tentera Angkasa AS dan Pemerintah Utara AS.

Sistem Golden Dome diilhamkan daripada kejayaan sistem Iron Dome milik Israel dan dijangka menggabungkan rangkaian satelit serta radar darat untuk mengesan, menjejak dan memintas sebarang peluru berpandu yang menghampiri ruang udara AS.

Bagaimanapun, projek berskala besar itu turut berdepan penelitian politik serta ketidakpastian peruntukan kewangan disebabkan anggaran kosnya yang tinggi.

Menurut perancangan Pentagon, sistem tersebut dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang Januari 2029, namun beberapa pakar pertahanan mempersoalkan tempoh masa dan kebolehlaksanaan bajet tersebut.

Sekiranya berjaya dilaksanakan, Golden Dome bakal menjadi sistem pertahanan peluru berpandu paling komprehensif yang pernah dimiliki oleh AS dalam menghadapi ancaman global masa kini. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×