WASHINGTON: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini menumpukan semula kepada siasatan antikeganasan selepas konflik Israel-Iran, dengan menangguhkan keutamaan terhadap kes imigresen susulan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan balas di dalam Amerika Syarikat (AS).
Langkah itu dibuat selepas AS melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi strategik di Iran serta membantu memeterai gencatan senjata antara Teheran dan Tel Aviv selepas hampir dua minggu pertempuran.
Pengarah FBI, Kash Patel berkata, keutamaan agensi itu kini ialah memastikan keselamatan dalam negeri dan membendung sebarang serangan balas di dalam negara.
“Buat masa ini, tumpuan utama khususnya dengan apa yang baru berlaku adalah melindungi tanah air dan masyarakat kita,” katanya semasa Persidangan Persatuan Syerif Kebangsaan di Florida.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) juga mengeluarkan amaran mengenai persekitaran ancaman yang semakin meningkat akibat ketegangan di Asia Barat dan kesan berpanjangan daripada pembunuhan komander tentera Iran, Qassem Soleimani pada 2020.
Setakat 24 Jun, Iran dan Israel dilaporkan masih mematuhi perjanjian gencatan senjata yang diumumkan Presiden Donald Trump sehari sebelum itu, walaupun terdapat beberapa pelanggaran kecil yang dilaporkan.
Sebelum ini, FBI telah mengalihkan sebahagian besar sumber manusia ke arah penguatkuasaan imigresen, menyebabkan pengurangan tenaga dalam siasatan berkaitan keganasan, risikan dan penipuan di mana langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump untuk mempercepatkan proses pengusiran besar-besaran pendatang tanpa izin.
Awal bulan ini, Trump turut mengerahkan pasukan Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles susulan tunjuk perasaan membantah dasar imigresennya malah, Pengawal Negara juga turut mengiringi pegawai Imigresen dan Kastam (ICE) dalam beberapa serbuan di sekitar bandar tersebut.
Pentadbiran Trump dilaporkan mensasarkan sekurang-kurangnya 3,000 tangkapan setiap hari di mana antara 14 hingga 20 Jun lalu sahaja, ICE telah menahan purata 1,200 individu sehari, kadar tertinggi sejak Trump mula memegang jawatan pada Januari.
Patel bagaimanapun tidak menyatakan secara rasmi sama ada arahan terdahulu berkaitan imigresen telah ditarik balik dan Jurucakap FBI ketika diminta mengulas berkata agensi tersebut sentiasa menilai dan menyusun semula keutamaan berdasarkan keperluan serta tahap ancaman semasa. –AGENSI









