TEHERAN: Selepas hampir dua minggu dihujani serangan udara, suasana di Teheran sedikit tenang berbanding kebiasaan walaupun penduduk masih bimbang gencatan senjata antara Iran dan Israel tidak akan bertahan lama.
Di bazar Tajrish di ibu negara, peniaga dan pengunjung berkongsi pandangan mengenai gencatan senjata sementara yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ramai menyuarakan keraguan terhadap kesungguhan Israel mematuhi perjanjian rapuh itu.
“Saya tidak fikir ia akan berkekalan. Kami mahukan gencatan senjata, tetapi mereka tidak menepati janji,” kata Ahmad Barqi, 75, seorang peniaga barangan elektronik.
Seorang lagi peniaga, Alireza Jahangiri meragui komitmen Israel selepas mendengar laporan media rasmi mengenai tiga serangan dilancarkan rejim sejurus pengumuman gencatan senjata.
Walaupun malam sebelumnya dikejutkan dengan letupan yang lebih kerap berbanding beberapa hari lalu, suasana di Teheran dilaporkan kembali tenang pada pagi semalam.
Penduduk tempatan keluar menikmati cuaca, manakala kafe di sekitar taman kembali dipenuhi pengunjung yang mengambil kesempatan untuk beriadah.
Gencatan senjata diumumkan selepas rundingan diplomatik yang intensif, namun penganalisis menjangkakan ketegangan masih belum reda sepenuhnya dan masa depan konflik bergantung kepada komitmen kedua-dua pihak mematuhi perjanjian.
Konflik selama 12 hari antara Iran dan Israel menjejaskan kehidupan ekonomi di Teheran, apabila banyak premis perniagaan dan pejabat awam ditutup, manakala kawasan kejiranan terjejas.
Sepanjang konflik, serangan udara Israel memusnahkan atau merosakkan beberapa bangunan awam, khususnya berkaitan ketenteraan, Pengawal Revolusi Iran dan program nuklear negara tersebut.- AFP









