WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencuri perhatian dunia dengan mengumumkan gencatan senjata antara Iran dan Israel yang mula berkuat kuasa semalam, sambil menggesa kedua-dua pihak untuk tidak mencabuli usaha damai itu.
Trump hanya mengumumkan perkara tersebut menerusi platform Truth Social miliknya yang awalnya turut mencetus kekeliruan tentang butiran dan masa sebenar gencatan senjata itu.
“Gencatan senjata senjata kini berkuat kuasa. Tolong jangan langgarnya!” tulis beliau di platform Truth Social miliknya.
Trump sebelum ini menyatakan gencatan senjata tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 24 jam.
Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam gelombang serangan peluru berpandu Iran sejurus sebelum waktu gencatan senjata berperingkat bermula, menurut perkhidmatan kecemasan dan pihak tentera.
Perkhidmatan penyelamat Isreal melaporkan, tiga orang disahkan maut di lokasi kejadian dalam satu serangan di bandar selatan Beersheba, manakala seorang lagi meninggal dalam kemas kini berikutnya.
Letupan turut menggegarkan Teheran sepanjang malam, dengan bedilan di utara dan tengah ibu negara Iran itu digambarkan oleh wartawan AFP sebagai antara paling kuat sejak konflik bermula.
Serangan tersebut dilaporkan turut mengorbankan seorang saintis nuklear Iran di kediaman ibu bapanya di Astaneh-ye Ashrafiyeh.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam satu hantaran di laman X menegaskan, Iran hanya akan menghentikan serangan balas jika Israel terlebih dahulu melakukan perkara sama.
Lewat petang semalam, Israel akhirnya mengumukan bersetuju dengan gencatan senjata dua hala dengan Iran.
“Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat Kabinet untuk mengumumkan Israel sudah mencapai semua objektif Operasi ‘Rising Lion’ malah, lebih daripada itu,” kata pejabatnya dalam kenyataan.
Namun beberapa jam kemudian, Menteri Pertahanan, Israel Katz menuduh Iran melanggar gencatan senjata tersebut selepas mendakwa pasukan tentera rejim memintas dua peluru berpandu di utara Israel.
Beliau turut mengarahkan tindak balas intensif walaupun Teheran menafikan serangan itu.
Serang pangkalan AS di Qatar
Pengumuman gencatan senjata itu dibuat beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu menyasarkan pangkalan tentera AS yang terbesar di Asia Barat.
Majlis Keselamatan Kebangsaan Iran berkata, serangan menyasarkan Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar itu dilancarkan sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan agresif dan biadab AS terhadap tiga tapak kemudahan nuklear Iran pada Ahad.
Katanya, bilangan peluru berpandu yang dilancarkan adalah setara dengan jumlah bom yang digunakan AS dalam serangan mereka, satu isyarat Iran cuba mengekalkan tindak balas yang ‘seimbang’ tanpa meningkatkan konflik.
Namun, Trump menafikan kesan besar serangan itu dan menyifatkannya sebagai ‘lemah’.
Beliau mendakwa Iran sudah memberikan notis awal tentang serangan tersebut dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Media Iran memetik Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan, enam peluru berpandu mengenai Pangkalan Al Udeid.
Rakyat Iran dilaporkan berkumpul di pusat bandar Teheran untuk meraikan serangan itu dengan sebahagiannya mengibarkan bendera Iran sambil melaungkan ‘Mati kepada Amerika’.
Kementerian Luar Qatar mengecam keras serangan itu yang berlaku di wilayahnya dan dilaporkan turut bertindak memanggil wakil kedutaan Iran semalam.
Usaha redakan ketegangan
Sekiranya pertempuran antara kedua-dua musuh ketat itu mampu dihentikan secara total, ia akan membawa kelegaan besar kepada para pemimpin dunia yang khuatir konflik ini mencetus peperangan besar dan mengheret banyak negara di rantau itu.
Perancis dan China merupakan antara negara yang memberi amaran keras mengenai risiko perang berskala besar ekoran campur tangan AS dalam perang itu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyeru keganasan ini dihentikan segera, manakala China memberi amaran tentang kesan ekonomi global yang boleh berlaku.
Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid turut menggesa agar perang yang sudah berlarutan lebih 20 bulan dengan Hamas di Gaza ditamatkan, selepas Israel mengumumkan persetujuannya terhadap gencatan senjata dengan Iran.
“Dan kini Gaza. Sudah tiba masanya untuk menamatkannya di sana juga. Bawa pulang para tebusan, tamatkan perang ini,” tulis Lapid di platform X. – AFP\









