Perkukuh hab pertahanan, aeroangkasa serantau

Perkukuh hab pertahanan, aeroangkasa serantau

PAMERAN Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA) merupakan lambang keyakinan global terhadap Malaysia sebagai hab strategik serantau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAMERAN Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) bertemakan ‘Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’ berakhir 24 Mei lalu terbukti menjadi simbol kebanggaan negara menerusi pencapaian dan sambutan luar biasa sepanjang lima hari penganjurannya. Malah penganjuran kali ini turut mendapat pujian dan maklum balas positif daripada wakil peserta antarabangsa.

Menghimpunkan 860 pempamer dari 24 buah negara serta mencatat kehadiran kira-kira 450,000 pengunjung, menjadikannya antara pameran terbesar dalam sejarahnya dan merupakan pencapaian yang baik.

Pencapaian ini membuktikan LIMA bukan sekadar ekspo industri pertahanan malah lambang keyakinan global terhadap Malaysia sebagai hab strategik serantau.

Selain itu, pertambahan jumlah penglibatan syarikat tempatan pada penganjuran kali ini membuktikan Malaysia tidak pernah ketinggalan dan sentiasa meningkatkan tahap inovasi dalam menghasilkan aset mahupun peralatan melibatkan ketenteraan.

RIBAT, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) pertama keluaran negara yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) dilancarkan Perdana Menteri pada 20 Mei lalu mencerminkan keupayaan industri tempatan dalam mencipta teknologi strategik diyakini kerajaan serta komuniti global.

LIMA’25 yang mempamerkan lebih 110 aset pertahanan, mewakili udara, maritim dan teknologi siber masa hadapan mencerminkan komitmen Malaysia terhadap kesiapsagaan pertahanan, keamanan serantau dan kerjasama strategik dalam menghadapi cabaran keselamatan global yang berkembang pesat.

Australia, Korea Selatan, Perancis, Denmark dan Turkiye antara yang terlibat dengan LIMA. Russia pula boleh dianggap sebagai pendukung kuat LIMA kerana tidak pernah ketinggalan menyertainya sejak edisi pertama 34 tahun lalu. Persembahan aerobatik secara berkumpulan oleh pesawat pejuang mereka, Russian Knights sentiasa dinanti-nantikan peminat aeroangkasa.

Tidak dinafikan industri pertahanan negara berkembang pesat dengan kewujudan LIMA. Jika pada masa lalu isu melibatkan teknikal seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat serta kapal dilakukan di Singapura kerana negara tidak mempunyai kepakaran mengenainya namun kini semuanya boleh dilakukan di Malaysia. Secara tidak langsung LIMA telah menaikkan imej Malaysia setanding negara maju lain dari segi pencapaian di bidang maritim dan aeroangkasa.

Sementara itu, sebanyak RM11 bilion dibelanjakan kerajaan pada LIMA’25 termasuk pembelian Pelancar Peluru Berpandu Serangan Laut (NSM) untuk memperkukuhkan sistem pertahanan negara. Perolehan-perolehan tersebut meningkatkan kesiagaan aset di tahap tertinggi bagi memperkukuh kedaulatan wilayah negara.

Selain itu perolehan-perolehan tersebut bermatlamat meningkatkan dorongan terhadap pembangunan industri pertahanan tempatan, memperkukuh sistem keselamatan siber negara dan teknologi komunikasi. Dalam masa sama bagi mengutamakan pembangunan dan penyelidikan termasuk penggunaan kecerdasaan buatan (AI) serta teknologi baharu.-UTUSAN

MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×