KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menggantung sementara perintah pembekuan aset milik isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga di London yang bernilai RM758.2 juta
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh yang mewakili Na’imah untuk menggantung sementara perintah pembekuan aset di London milik keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin dikeluarkan pada 3 Jun lalu.
Antara aset-aset disenaraikan dalam pembekuan itu ialah dua bangunan komersial, lima unit kediaman termasuk kediaman mewah dan akaun The Ilham Foundation.
Hakim itu juga turut memerintahkan barisan peguam Na’imah untuk memfailkan permohonan rasmi untuk menjadi pencelah dalam permohonan pembekuan aset-aset itu. Permohonan mencelah itu akan didengar pada 9 Julai ini.
Selain itu, arahan yang sama turut diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi berasingan, K. Muniandy dalam permohonan baharu SPRM untuk membekukan 12 akaun pelaburan di Singapura milik Na’imah, keluarga dan sekutunya berjumlah RM544,674,050.97.
“Permohonan perlu didengar secara kedua-dua belah pihak. Permohonan untuk mencelah perlu difailkan secara rasmi dan pendakwaan perlu menyampaikan kertas kausa kepada pihak (Na’imah). Permohonan (mencelah akan didengar pada 1 Ogos ini,” kata hakim itu.
Pada prosiding itu, Hakim Muniandy juga tidak membuat sebarang perintah berhubung permohonan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal dan Mahadi Abdul Jumaat untuk membekukan akaun-akuan tersebut.
Menurut Wan Nur Iman, siasatan awal mendapati 12 akaun itu tersebut adalah berpunca daripada sumber dalam negara dan tidak pernah diisytiharkan.
Dalam permohonan untuk mencelah di kedua-dua Mahkamah Tinggi itu, Gurdial menyatakan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan oleh SPRM langsung tidak menamakan individu yang memiliki aset-aset tersebut.
“Seksyen 53(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dengan jelas menyatakan perintah terhadap individu tetapi permohonan SPRM (beku aset di London dan akaun di Singapura) tidak pernah menyebut nama sesiapa.
“Kami tidak mempertikaikan tindakan SPRM untuk membuat permohonan ini ataupun untuk membuat siasatan tetapi ia mestilah dijalankan dengan cara yang sewajarnya,” kata peguam itu.
Mahadi dalam hujahan balasnya menyatakan, permohonan yang dibuat adalah perintah pembekuan dan bukan pelucutan harta yang memerlukan nama responden atau defendan dinyatakan.
“Perintah diperlukan bagi memastikan status quo (tidak dilupuskan) aset tersebut sementara siasatan dijalankan. Selepas setahun, sekiranya tiada sebarang kesalahan dikaitkan dengan aset-aset tersebut, ia akan dipulangkan semula,” kata pendakwa raya itu.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta Allahyarham Daim dan keluarga yang dianggarkan bernilai melebihi RM2 bilion.
Tindakan itu mendapat reaksi peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Na’imah dan keluarga mendakwa kenyataan itu tidak masuk akal, dibuat tanpa sebarang asas perundangan, tidak boleh dipertahankan dan bersifat membalas dendam.-UTUSAN










