WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump menegaskan serangan udara terbaharu Amerika Syarikat (AS) terhadap tapak nuklear Iran bukan bertujuan menukar rejim di Teheran sebaliknya menyeru Iran tidak membalas secara ketenteraan dan kembali ke meja rundingan.
Menurut pegawai kanan kerajaan AS pada Ahad, operasi rahsia yang dinamakan Operation Midnight Hammer hanya diketahui oleh segelintir individu dalam pentadbiran dan pihak tentera di ibu pejabat Komando Pusat AS (CENTCOM) di Tampa, Florida.
Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine memaklumkan kepada media operasi tersebut melibatkan tujuh pesawat pengebom B-2 yang terbang selama 18 jam dari AS ke Iran, melepaskan 14 bom pemusnah kubu ke atas tiga tapak nuklear utama Iran.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth memberi amaran kepada Iran tidak melaksanakan sebarang ancaman balas yang pernah dikeluarkan sebelum ini dan menegaskan tentera AS bersedia mempertahankan diri jika diserang.
“Misi ini tidak dan tidak pernah bertujuan menukar rejim,” kata Hegseth dalam sidang media di Pentagon.
Naib Presiden, JD Vance dalam satu temu bual bersama program Meet the Press with Kristen Welker di NBC turut menegaskan AS bukan berperang dengan Iran secara keseluruhan tetapi menyasarkan program nuklear negara itu.
Caine berkata, penilaian awal kerosakan menunjukkan ketiga-tiga tapak tersebut mengalami kemusnahan teruk namun beliau enggan mengulas sama ada terdapat sebarang kemampuan nuklear Iran yang masih terselamat.
“Saya fikir kita berjaya melemahkan program nuklear Iran untuk tempoh sangat lama,” kata Vance sambil menambah AS tidak berminat untuk menghantar tentera darat.
Secara keseluruhan, operasi tersebut menyaksikan pelancaran 75 senjata berpandu tepat termasuk lebih dua dozen peluru berpandu Tomahawk serta penglibatan lebih 125 pesawat tentera.









