WASHINGTON: Ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji kejayaan ketenteraan dalam serangan terhadap tapak nuklear Iran, para pengkritik termasuk ahli politik daripada Parti Demokrat mempersoalkan kesahihan tindakan itu dari segi Perlembagaan.
Ramai pengkritik menuduh Trump melanggar Perlembagaan AS apabila melancarkan serangan ketenteraan tanpa kelulusan Kongres, satu tindakan yang dianggap mencabul kuasa badan perundangan.
“Trump pernah berjanji untuk menamatkan perang sebaliknya kini beliau menyeret AS ke dalam konflik baharu. Tindakan beliau jelas melanggar Perlembagaan iaitu mengenepikan hak eksklusif Kongres untuk mengisytiharkan perang,” kata Senator Christopher Van Hollen Junior dalam satu kenyataan.
Sebelum serangan dilancarkan, penggubal undang-undang dari kedua-dua parti utama di AS telah mengemukakan usul agar Trump perlu mendapatkan kebenaran Kongres sebelum melaksanakan sebarang tindakan ketenteraan.
Perlembagaan AS memperuntukkan bahawa hanya Kongres mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perang atau memberi kebenaran penggunaan kekerasan bagi tujuan tertentu.
Pangkalan penyokong setia Trump yang berpegang kepada slogan ‘Make America Great Again’ (MAGA) juga menentang keras penglibatan AS dalam peperangan yang diketuai Israel.
Mereka mengingatkan bahawa Trump memenangi pilihan raya dengan janji tidak akan melibatkan negara dalam perang baharu di Asia Barat sebaliknya mereka mahu beliau memberi tumpuan kepada isu domestik, terutamanya ekonomi.
Kuasa Kongres dalam hal ehwal ketenteraan turut diperkuatkan menerusi War Powers Resolution 1973 yang mengehadkan kuasa presiden dalam membuat keputusan berkenaan perang secara unilateral.
Ahli Kongres progresif, Alexandria Ocasio-Cortez menyatakan bahawa Trump telah melanggar Perlembagaan dan War Powers Resolution melalui tindakannya.
Beberapa ahli Demokrat juga menekankan bahawa kemudahan nuklear Iran yang diserang telah beroperasi selama bertahun-tahun dan tidak mewakili ancaman serta-merta kepada keselamatan AS.
Malah, badan risikan AS dalam penilaian mereka pada Mac lalu turut mengesahkan bahawa Iran tidak atau sedang membangunkan senjata nuklear.









