TEL AVIV: Tentera Israel hari ini mendakwa melancarkan serangan ke atas enam sasaran ketenteraan di Iran dan memusnahkan 15 pesawat.
Menurut kenyataan tentera, lapangan terbang di bahagian barat, timur dan tengah Iran menjadi sasaran, menyebabkan kerosakan pada landasan dan bunker bawah tanah.
Serangan tersebut didakwa turut merosakkan pesawat mengisi minyak, helikopter dan jet tempur jenis F-14, F-5 serta AH-1.
Setakat ini, tiada sebarang maklum balas daripada pihak Iran mengenai dakwaan Israel itu.
Israel dan Iran terus terlibat dalam pertempuran udara sejak 13 Jun lalu, selepas Tel Aviv melancarkan serangan mengejut ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Teheran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu.
Pihak berkuasa Israel melaporkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera akibat serangan balas Iran.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Iran memaklumkan sekurang-kurangnya 430 terbunuh dan lebih 3,500 cedera dalam serangan udara Israel.- ANADOLU









