NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat tergempar pada Ahad bagi membincangkan tindakan Amerika Syarikat (AS) menyerang tapak nuklear Iran, ketika Russia, China dan Pakistan mengusulkan resolusi agar gencatan senjata segera dan tanpa syarat dilaksanakan di Asia Barat.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, pengeboman terhadap kemudahan nuklear Iran oleh AS menandakan satu perubahan yang berbahaya.
“Kita mesti bertindak segera dan tegas untuk menghentikan pertempuran dan kembali kepada rundingan yang serius dan berterusan mengenai program nuklear Iran,” katanya ketika berucap.
Ketegangan terus meningkat selepas Presiden Donald Trump mengumumkan AS telah melenyapkan tapak-tapak nuklear utama Iran dalam serangan bersama dengan Israel menjadikan ia tindakan ketenteraan terbesar oleh kuasa Barat terhadap Republik Islam itu sejak Revolusi Iran 1979.
Russia dan China mengecam keras tindakan ketenteraan tersebut.
“Kedamaian di Asia Barat tidak akan dicapai melalui kekerasan. Dialog dan perundingan adalah jalan keluar yang sebenar ketika ini.
“Usaha diplomatik untuk menyelesaikan isu nuklear Iran belum pun habis diterokai dan masih ada harapan untuk penyelesaian secara aman,” kata Duta China ke PBB, Fu Cong.
Namun, Pemangku Duta AS ke PBB, Dorothy Shea mempertahankan tindakan Washington dan menyeru UNSC mendesak Iran menghentikan usaha memusnahkan Israel serta menghentikan sepenuhnya program pembangunan senjata nuklearnya.
“Iran selama ini menyorokkan program senjata nuklearnya dan menghalang segala usaha rundingan ikhlas kami. Rejim Iran tidak boleh dibenarkan memiliki senjata nuklear,” kata Shea.
Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia membandingkan situasi ini dengan insiden 2003 apabila Setiausaha Negara AS ketika itu, Colin Powell berhujah di Majlis Keselamatan bahawa Iraq di bawah Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran, satu dakwaan yang akhirnya terbukti palsu.
“Kita sekali lagi diminta untuk mempercayai dongeng AS demi mencetuskan penderitaan terhadap jutaan penduduk Asia Barat. Ini mengukuhkan kepercayaan kami bahawa AS tidak pernah belajar daripada sejarah,” tegas Nebenzia.









