Operasi True Promise III fasa ke-18 musnahkan sebahagian besar Israel - Utusan Malaysia

Operasi True Promise III fasa ke-18 musnahkan sebahagian besar Israel

PENYELAMAT Israel meneruskan operasi menyelamat di runtuhan lokasi serangan peluru berpandu Iran di Bat Yam, pada 15 Jun lepas. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan fasa ke-18 Operasi True Promise III yang dilancarkan pada Sabtu merupakan antara serangan peluru berpandu dan dron paling berjaya minggu ini, menjelang pelancaran fasa ke-19 pada awal pagi Ahad.

Jurucakap IRGC, Brigedier Jeneral Ali Mohammad Naeini dalam satu kenyataan berkata fasa tersebut memperlihatkan kejayaan ketara hasil daripada inovasi baharu dalam pemilihan peluru berpandu, pemilihan sasaran serta laluan panduan untuk peluru berpandu dan dron.

Menurut beliau, sebanyak 14 tapak ketenteraan strategik di Haifa dan Tel Aviv telah menjadi sasaran serangan tersebut, termasuk beberapa pusat yang dikaitkan dengan industri ketenteraan Israel.

Antara sasaran utama yang berjaya dihentam ialah Menara Sail di pusat bandar Haifa, iaitu bangunan pejabat menempatkan syarikat kecerdasan buatan AI12 Labs serta firma-firma perisian lain yang terlibat secara langsung dengan industri peperangan rejim.

“Dalam operasi ini, peluru berpandu jarak jauh Qadr-F digunakan untuk menyerang Menara Sail,” kata Brigedier Jeneral Naeini.

Turut menjadi sasaran ialah loji janakuasa Hadera, loji penapisan minyak Haifa, pangkalan udara Ovda yang berperanan sebagai pusat siber rejim Zionis, zon industri semikonduktor Kiryat Gat serta Pusat Rafael di Haifa yang dikaitkan dengan pembangunan senjata canggih.

Brigedier Jeneral Naeini turut memberi amaran fasa ke-19 yang dilancarkan selepas itu akan menjadi serangan yang berterusan, tidak putus-putus dan mampu menggugat keseimbangan rejim Israel

Setakat ini, sebanyak 19 fasa operasi telah dilancarkan oleh Pasukan Aeroangkasa IRGC sejak 13 Jun lalu sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut rejim Israel ke atas wilayah Iran yang telah mengorbankan ramai tokoh penting negara itu termasuk pegawai kanan tentera, saintis, profesor universiti, atlet, pelajar sekolah dan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×