Iran mahu berunding secara 'serius' dengan Russia selepas serangan AS - Utusan Malaysia

Iran mahu berunding secara ‘serius’ dengan Russia selepas serangan AS

Abbas Araghchi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengumumkan beliau akan mengadakan rundingan ‘serius’ dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) terhadap tiga tapak nuklear utama Iran.

Dalam satu sidang media di Istanbul, Araghchi menyifatkan tindakan Washington sebagai ‘pelanggaran besar terhadap Piagam PBB, undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT)’.

Beliau menegaskan lawatannya ke Moscow untuk menyelaraskan pendirian strategik bersama Rusia dan membincangkan tindak balas diplomatik serta keselamatan serantau.

“Kami sentiasa berunding dan menyelaraskan kedudukan kami. Lawatan ini bukan simbolik – ia adalah konsultasi yang serius,” kata Araghchi kepada wartawan.

Rusia, yang merupakan sekutu rapat Iran, telah menerima dron ketenteraan dari Tehran untuk digunakan dalam konflik di Ukraine, manakala Iran pula mendapat sokongan teknikal dalam program nuklear awamnya.

Kremlin sebelum ini menyuarakan penentangan terhadap sebarang usaha perubahan rejim di Iran dan memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketidakstabilan ekstrem di rantau itu.

Araghchi turut mengingatkan bahawa Iran berhak mempertahankan kedaulatan dan rakyatnya, dan menyatakan bahawa semua pilihan kini terbuka di bawah prinsip pertahanan diri yang termaktub dalam Piagam PBB.

Lawatan ke Moscow pada Isnin dijangka akan menjadi titik penting dalam usaha Iran membina sokongan antarabangsa selepas serangan udara yang disifatkan sebagai “jenayah besar” oleh Teheran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×