AS dakwa lenyapkan tapak nuklear Iran walaupun penilaian kerosakan belum lengkap - Utusan Malaysia

AS dakwa lenyapkan tapak nuklear Iran walaupun penilaian kerosakan belum lengkap

PETE Hegseth
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth mengulangi dakwaan Presiden Donald Trump serangan udara yang dilancarkan AS telah melenyapkan sepenuhnya tapak nuklear Iran dan keupayaan republik itu untuk memperoleh senjata nuklear.

Dakwaan itu bagaimanapun berbeza dengan pengakuan Pentagon terlalu awal untuk membuat penilaian menyeluruh terhadap tahap kemusnahan.

Dalam satu sidang media pada Ahad, Hegseth dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine menyatakan bahawa serangan yang diberi nama kod Operation Midnight Hammer telah memusnahkan program nuklear Iran.

Kenyataan Hegseth dilihat sebagai pujian terbuka terhadap Trump dan operasi yang menyasarkan tiga lokasi utama iaitu tapak pengayaan uranium Natanz dan Fordow yang terletak jauh di bawah tanah serta kemudahan penyimpanan uranium yang diperkaya di Esfahan.

“Ia merupakan kejayaan luar biasa dan menyeluruh. Arahan yang kami terima daripada ketua komander kami sangat jelas,” kata Hegseth yang tampil buat kali pertama di bilik taklimat Pentagon sejak dilantik sebagai Setiausaha Pertahanan.

“Terima kasih kepada kepimpinan berani dan berwawasan Trump serta komitmen beliau terhadap keamanan melalui kekuatan, cita-cita nuklear Iran kini telah dilenyapkan,” katanya.

Jeneral Caine yang berada di Bilik Situasi Rumah Putih ketika operasi berlangsung menjelaskan serangan itu melibatkan gabungan dua gelombang iaitu pesawat pengebom B-2 serta jet pejuang generasi keempat dan kelima yang berlepas dari AS.

Operasi bermula sekitar tengah malam Jumaat lalu apabila tujuh pesawat B-2 berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri menuju ke ruang udara Iran, terbang selama 18 jam tanpa henti dan mengisi minyak beberapa kali di udara.

Sementara itu, kumpulan pesawat lain terbang ke arah bertentangan melalui Lautan Pasifik sebagai taktik pengalih perhatian.

Jet pejuang yang tidak dikenal pasti turut dihantar mendahului kumpulan utama bagi mengesan sebarang ancaman dari pesawat tempur Iran atau sistem peluru berpandu darat ke udara yang mungkin mempertahankan tapak-tapak nuklear tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×