WASHINGTON: Dunia bersiap sedia menghadapi tindak balas Iran selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang tapak-tapak nuklear utama Iran, menyertai Israel dalam tindakan ketenteraan terbesar oleh Barat terhadap Republik Islam itu sejak Revolusi 1979.
Sehari selepas AS menghantar bom ‘bunker-buster’ seberat 15 tan ke dalam kawasan pergunungan di atas tapak nuklear Fordow milik Iran, Teheran berikrar akan mempertahankan dirinya dengan apa jua kos.
Pemimpin AS pula menyeru Iran agar tidak membalas, manakala tunjuk perasaan anti-perang mula tercetus di beberapa bandar di AS.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Presiden AS Donald Trump menyentuh isu perubahan rejim di Iran.
“Memang tidak betul dari segi politik untuk guna istilah ‘Perubahan Rejim’, tetapi jika rejim Iran yang ada sekarang gagal untuk JADIKAN IRAN HEBAT SEMULA, mengapa tidak berlaku perubahan rejim??? MIGA!!!” tulisnya.
Iran dan Israel terus saling melancarkan serangan peluru berpandu, dengan satu letupan di wilayah barat Iran meragut nyawa enam anggota tentera, menurut sebuah media Iran.
Terdahulu, Iran melancarkan peluru berpandu yang mencederakan ramai orang dan meranapkan beberapa bangunan di Tel Aviv.
Jabatan Negara AS mengarahkan ahli keluarga kakitangan kedutaannya meninggalkan Lubnan dan menasihatkan warganya di rantau lain supaya merendahkan profil atau mengehadkan pergerakan.









