TEL AVIV: Ketika konflik bersenjata antara Israel dan Iran semakin memuncak, ratusan rakyat Amerika Syarikat (AS) yang terkandas di Israel kini merayu bantuan untuk pulang selepas ruang udara ditutup dan penerbangan komersial dibatalkan.
Karen dan Omri Mamon, pasangan warganegara dwi-kewarganegaraan AS-Israel tiba di Israel bulan lalu untuk menghadiri majlis perkahwinan adik Omri, namun percutian mereka bertukar menjadi pengalaman cemas apabila serangan udara Israel ke atas Iran seminggu kemudian mencetuskan tindak balas peluru berpandu dan mengakibatkan ruang udara ditutup.
“Malam pertama, kami turun ke tempat perlindungan tiga kali. Sejak itu, kami asyik berpindah dari satu rumah ke rumah lain serta cari bilik selamat. Kami dah cuba pelbagai cara untuk pulang ke rumah di Florida sejak hari pertama,” kata Omri kepada CNN.
Omri, yang pernah tinggal di Israel sebelum ini berkata, pengalaman kali ini jauh lebih mencemaskan.
“Bunyi letupan lebih kuat, dan bom yang dijatuhkan jauh lebih besar. Anda dengar bom di mana-mana,” ujarnya.
Sejak serangan udara Israel ke atas beberapa sasaran strategik di Iran pada 13 Jun, situasi keselamatan di negara itu menjadi semakin tegang. Ben Gurion Airport di Tel Aviv membatalkan sebahagian besar penerbangan keluar masuk menyebabkan ramai rakyat asing terkandas.
Pada Sabtu, puluhan rakyat AS berkumpul di sebuah hotel di tengah Israel di mana kakitangan konsular dari Kedutaan AS mula memproses permohonan keluar mereka.
Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan AS sedang mengatur penerbangan dan kapal pemindahan bagi rakyatnya yang ingin meninggalkan Israel namun, tiada tarikh jelas bila pemindahan akan bermula.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce berkata, lebih 25,000 individu telah menghubungi jabatan itu untuk mendapatkan maklumat berhubung situasi di Israel, Tebing Barat dan Iran. Dianggarkan sekitar 700,000 rakyat AS tinggal di Israel.
Beberapa rakyat AS yang ditemui CNN memaklumkan bahawa penerbangan ke Athens sedang diatur sebagai laluan keluar sebelum mereka boleh menyambung penerbangan ke AS. Namun jadual penerbangan masih belum ditetapkan.









