Israel sedia lanjutkan perang dengan Iran - Utusan Malaysia

Israel sedia lanjutkan perang dengan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel mengumumkan mereka bersiap sedia menghadapi kemungkinan perang berpanjangan dengan Iran.

Menteri Luar Iran pula memberi amaran penglibatan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik tersebut akan menjadi amat berbahaya untuk semua pihak.

Ketegangan serantau dijangka meningkat lagi apabila pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yemen memberi amaran akan menyambung semula serangan terhadap kapal AS di Laut Merah selepas pentadbiran Trump menyertai kempen ketenteraan Israel. Serangan Houthi sebelum ini dihentikan pada Mei lalu di bawah perjanjian dengan Washington.

Menurut kenyataan tentera Israel, pihaknya telah melancarkan serangan udara terhadap sebuah fasiliti penyelidikan nuklear Iran pada waktu malam dan membunuh tiga komander kanan Iran sebagai sebahagian daripada usaha untuk memusnahkan program nuklear negara itu.

Asap tebal kelihatan berhampiran kawasan pergunungan di wilayah Isfahan di mana Timbalan Gabenor Keselamatan wilayah tersebut, Akbar Salehi mengesahkan kemusnahan pada fasiliti terbabit akibat serangan Israel.

Tentera Israel menyatakan sasaran mereka adalah tapak pengeluaran sentrifug dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan serangan itu telah menyebabkan kerosakan besar pada fasiliti tersebut. Bagaimanapun, tiada risiko pencemaran radioaktif di kawasan sekitar.

Iran pula membalas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel namun tiada laporan kerosakan besar. Seorang pegawai kanan tentera Israel berkata, lebih 50 peratus pelancar Iran telah dimusnahkan.

Jurucakap utama tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin turut memaklumkan bahawa Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir telah mengarahkan angkatan tentera untuk bersiap sedia menghadapi kempen yang berlarutan.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam satu sidang media di Turkiye sempena mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memberi amaran penyertaan ketenteraan AS akan membawa risiko besar kepada semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×