Sultan Kedah utama kebajikan rakyat

Sultan Kedah utama kebajikan rakyat

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah menyantuni para peniaga ketika singgah mengadakan lawatan di Arked Tanjung Dawai, Kuala Muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah merupakan peme­rintah yang sentiasa mele­takkan kebajikan rakyat dan kemajuan negeri sebagai ke­utamaan baginda.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, nasihat dan pandangan baginda juga menjadi panduan kepada pihak pentadbiran dalam mengurus dan mentadbir Kedah.

“Keprihatinan berterusan ba­­ginda bukan sahaja meri­ngankan beban rakyat, malah memperkukuh hubungan mes­ra antara institusi diraja dan rakyat jelata.

“Baginda sentiasa membe­rikan pandangan bernas dan penuh bertanggungjawab ter­masuk dalam isu-isu yang paling sensitif, yang mana akhirnya pandangan baginda dapat diterima baik oleh semua pihak,” katanya.

Ujar Muhammad Sanusi, sebagai raja yang berjiwa rak­yat, Sultan Sallehuddin memberi perkenan mewujudkan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) bertujuan membantu meringankan beban rakyat golongan miskin.

Katanya, baginda juga se­ring turun padang bagi meninjau sendiri situasi rakyat serta mendengar keluhan dan permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

“Keprihatinan Tuanku Sultan dizahirkan dengan mencemar duli mengadakan lawatan ke premis-premis perniagaan bukan sahaja di Bandaraya Alor Setar malah di kawasan luar bandar seperti di Arked Tanjung Dawai, Pekan Kuala Nerang, Jerlun dan Pokok Sena.

“Baginda juga begitu me­ngambil berat usaha memelihara kelestarian alam sekitar flora dan fauna demi kepen­tingan generasi akan datang. Selain itu, khazanah berupa artifak dan monumen bersejarah juga sentiasa dipentingkan di bawah pemerintahan baginda,” katanya.

Beliau berkata, sifat dipamerkan Sultan Sallehuddin telah menjadi inspirasi untuk Kedah terus melangkah maju, memperkukuh kedudukan eko­nomi, memelihara kestabilan sosial dan mempertahankan warisan budaya yang menjadi kebanggaan semua.

Tambahnya, Sultan Sallehu­ddin adalah manifestasi daripada prinsip ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ sehingga sifat mulia itu telah diteladani oleh anakanda-anakanda baginda.

“Tuanku Sultan juga berpengetahuan dan berpenga­laman luas dalam bidang ke­tenteraan dan baginda seme­mangnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi sehingga menjadi contoh amat baik kepada rakyat jelata,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×