MUZIUM Palestin yang diasaskan di Woodbridge, Connecticut, kini melebarkan sayapnya ke Eropah dengan membuka cawangan pertamanya di ibu kota Scotland, Edinburgh bulan lalu.
Dalam majlis perasmian tersebut, pengasas muzium itu, Faisal Saleh menyambut para tetamu dengan tenang, namun penuh semangat.
Faisal, anak kepada keluarga pelarian Palestin yang diusir dari kampung Salama berhampiran Jaffa pada tahun 1948 melalui perjalanan hidup luar biasa, daripada membesar di Tebing Barat yang diduduki, menjadi usahawan teknologi di Amerika Syarikat (AS).
Semangat utamanya jelas, menyediakan ruang budaya di mana rakyat Palestin dapat memiliki dan menyampaikan naratif mereka sendiri tanpa sebarang sekatan.
Muzium Palestin bukan sekadar muzium seni biasa, ia mempamerkan karya seni kontemporari Palestin daripada yang menyayat hati hinggalah hasil imaginatif penuh pengharapan.
Namun paling menarik, lokasi ini juga menawarkan sesuatu yang semakin jarang ditemui, satu pentas di mana kisah sebenar budaya, sejarah dan perjuangan rakyat Palestin diberi keutamaan tanpa kompromi atau penapisan.
Komitmen ini menjadi semakin penting dalam situasi semasa peperangan dan kekejaman yang belum menemui titik noktah.
Ketika genosid Israel yang berterusan di Gaza serta perluasan penempatan haram di Tebing Barat, sempadan antara krisis kemanusiaan, pemadaman budaya dan penindasan politik kian kabur.
Banyak institusi budaya dan akademik di Eropah dan AS memilih untuk berdiam diri malah, ada yang menyekat suara rakyat Palestin.
Antara yang berlaku baru-baru ini melibatkan seorang doktor Palestin-Amerika dan Pengasas Doctors Against Genocide, Dr. Karameh Kuemmerle yang dijemput untuk menyampaikan ceramah mengenai situasi kesihatan Gaza di Universiti Quinnipiac.
Pihak pentadbiran universiti bertindak membatalkan jemputan itu secara tiba-tiba, dengan alasan topik tersebut terlalu berunsur politik.
Muzium Palestin tampil memberi ruang kepada Kuemmerle menyampaikan ceramahnya dengan hadirin yang penuh dan rakaman acara tersebut kini tersedia di saluran YouTube.
Cawangan muzium di Edinburgh juga sekali lagi menyediakan pentas alternatif apabila sesi ucapan seorang pakar bedah ortopedik terkenal dan Pengasas Medical Aid for Palestinians, Dr. Swee Ang dibatalkan baru-baru ini di sebuah bandar lain di UK atas alasan kontroversi.
“Ini bukan sekadar pertukaran lokasi ia satu kenyataan tegas. Muzium ini memberi tempat kepada suara rakyat Palestin, meskipun ia mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.
“Terletak di bandar yang terkenal dengan semangat sastera dan seni, cawangan Eropah ini bukan sekadar ruang pameran, tetapi sebuah arkib hidup dan hab budaya.
“Ia juga memberi ruang bukan sahaja kepada pelukis, tetapi juga pembikin filem, pemuzik, sarjana dan aktivis,” jelas Faisal dipetik Middle East Media Monitors.
Katanya, kini sudah ada perancangan untuk siri ceramah awam, pameran seni dan kerjasama antarabangsa.
Namun lebih daripada itu, pembukaan di Edinburgh menandakan perluasan misi utama muzium ini untuk menegaskan Palestin bukan isu kecil, tetapi sudah menjadi krisis utama global.
“Rakyat Palestin bukan sahaja berhak untuk wujud, tetapi juga mereka harus diberi ruang berkarya, mendokumentasi dan menyuarakan hak mereka dengan bebas.
“Dalam banyak situasi di mana artis Palestin disekat, pameran mereka dibatalkan dan tokoh awam dihalang bersuara, kehadiran Muzium Palestin yang semakin berkembang menjadi satu bentuk rintangan budaya dan mengembalikan semula ruang naratif itu,” tegasnya.
Dengan perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan di London, Belanda, Belgium dan Norway, visi Faisal adalah mewujudkan satu jaringan lokasi-lokasi besar di mana identiti Palestin boleh terus hidup dan berkembang tanpa ditapis oleh tekanan politik atau penapisan budaya.
“Saya tidak akan berhenti selagi belum ada Muzium Palestin di setiap bandar utama di dunia. Tindakan kejam memadam kewujudan sesebuah bangsa bermula dengan membisukan cerita mereka dan kami tidak akan benarkan itu berlaku,” katanya. – UTUSAN










