Tapak nuklear Isfahan jadi sasaran serangan Israel

Tapak nuklear Isfahan jadi sasaran serangan Israel

ANGGOTA pasukan keselamatan Israel memeriksa kemusnahan di tapak serangan peluru berpandu Iran di kawasan perumahan Beersheba di selatan Israel, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran dan Israel masih berbalas serangan dalam perang udara yang memasuki hari kesembilan semalam, selepas Teheran menegaskan enggan berunding mengenai program nuklearnya selagi berada di bawah ancaman.

Agensi berita Fars melaporkan, Israel menyasarkan kemudahan nuklear Isfahan, antara yang terbesar di Iran, namun tiada kebocoran bahan berbahaya dilaporkan.

Media Iran turut melaporkan serangan Israel ke atas sebuah bangunan di bandar Qom, dengan laporan awal mendakwa seorang remaja berusia 16 tahun terbunuh, manakala dua lagi cedera.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa melancarkan gelombang serangan ke atas lokasi simpanan dan pelancaran peluru berpandu di Iran.

Rejim turut memberi amaran mengenai serangan peluru berpandu dari Iran sekitar pukul 2.30 pagi waktu tempatan, sekali gus mencetuskan siren amaran di beberapa kawasan termasuk Tel Aviv dan wilayah Tebing Barat.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendakwa, tenteranya membunuh seorang komander veteran dalam sayap Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Saeed Izadi, menerusi serangan ke atas sebuah pangsapuri di Qom.

Katz dalam kenyataan pada Sabtu berkata, Saeed mengetuai Kor Palestin dalam Pasukan Quds.

Setakat ini, serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 639 orang di Iran, termasuk pegawai tertinggi tentera dan saintis nuklear.

Sementara itu, pihak berkuasa Israel mendakwa 24 orang awam terbunuh akibat serangan peluru berpandu Iran.

Kelmarin, Iran menegaskan tidak akan menyambung semula rundingan berhubung program nuklearnya selagi negara itu masih jadi sasaran serangan Israel.

Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi berkata, Iran hanya bersedia mempertimbangkan pendekatan diplomatik selepas pencerobohan Israel dihentikan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×