Israel dilema, tunggu Trump atau serang sendiri Iran

Israel dilema, tunggu Trump atau serang sendiri Iran

PENUNJUK perasaan membantah penglibatan AS dalam konflik Israel-Iran di Bangunan Persekutuan Westwood di Los Angeles, California, pada 18 Jun lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Keputusan Presiden Donald Trump untuk menangguhkan serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran menyebabkan Israel ‘tersepit’ dalam percaturan strategik dan ketenteraan.

Matlamat utama Israel yang masih belum tercapai dalam konflik itu adalah untuk memusnahkan tapak pengayaan nuklear Fordo di utara Iran, yang dibina jauh di bawah tanah hingga sukar ditembusi oleh sebarang serangan ketenteraan.

Sejak beberapa hari lalu, Israel berharap Trump akan menghantar pesawat pejuang AS dilengkapi dengan satu-satunya senjata di dunia yang dianggap cukup kuat untuk memusnahkan Fordo.

Namun, Trump mengumumkan untuk menunggu sehingga dua minggu lagi sebelum memutuskan campur tangan ketenteraan AS terhadap Iran.

Penangguhan itu meletakkan Israel dalam dilema yang serius, kerana semakin lama perang ber;larutan, semakin besar tekanan terhadap sistem pertahanan udaranya, menurut laporan The New York Times.

Bagi menangkis serangan peluru berpandu balistik Iran, Israel terpaksa menggunakan sejumlah besar peluru pemintas, sehingga memaksanya memberi keutamaan perlindungan kepada kawasan tertentu dan mengabaikan sebahagian lain.

Selain tekanan ketenteraan, perang berpanjangan juga memberi kesan besar terhadap ekonomi Israel.

Penutupan ruang udara dan gangguan terhadap aktiviti ekonomi menyebabkan kerugian yang dijangka terus meningkat selagi konflik belum reda.

Daripada terus bergantung kepada keputusan AS, tidak mustahil Israel mengambil langkah sendiri untuk menyerang tapak nuklear Fordo, walaupun hanya bersandarkan pada aset ketenteraan sedia ada.

Beberapa penganalisis berpendapat, Israel mungkin juga menghantar pasukan komando untuk menyusup masuk dan mensabotaj tapak nuklear tersebut.

Namun, antara pilihan lain yang lebih berisiko rendah adalah dengan menamatkan perang secara sepihak tanpa menyerang tapak pengayaan Fordo.

Bagaimanapun, pendekatan itu bermakna program nuklear Iran akan terus kekal dan berpotensi menghasilkan senjata nuklear yang boleh digunakan terhadap Israel.

Setakat ini, Israel tidak menunjukkan kecenderungan untuk memilih jalan tersebut.

Sebaliknya, kepemimpinan politik negara haram itu semakin lantang menyuarakan hasrat untuk menggugat kestabilan Iran, malah menyeru pembunuhan pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×