Sabar dan tabah, azimat hadapi ujian

Sabar dan tabah, azimat hadapi ujian

MUHAMMAD IZZUDDIN MOHMAD ASARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN moden yang dipenuhi desakan material dan cabaran emosi – kesabaran dan ketabahan menjadi tunjang utama dalam membentuk keutuhan jiwa insan.

Dua sifat ini bukan hanya ajaran retorik dalam wacana keagamaan, bahkan menjadi pedoman nyata yang mendasari sejarah perjuangan para anbiya, ulama dan salihin yang menempuh jalan sukar demi kebenaran dan kebajikan umat.

Berkongsi pandangan berkait sabar dan tabah, guru Diniyyah Sekolah Rendah Islam, Darul Iman, Kota Putera, Ustaz Muhammad Izuddin Mohmad Saari berkata, kesabaran merupakan akhlak luhur yang membentuk daya tahan dalaman, sifat menahan diri dalam kegawatan, memaafkan ketika dilukai dan bersabar ketika diuji.

USTAZ MUHAMMAD IZZUDDIN MOHMAD ASARI
Usia: 30 tahun
Asal: Besut, Terengganu.
Sejarah pendidikan:
 Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) Klang, Selangor
 Diploma Darul Quran JAKIM
Ijazah Sarjana Muda (Syariah)
 Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Terengganu
Tugas hakiki: Guru Diniyyah Sekolah Randah Islam Darul Iman, Kota Putera, Besut.
Tugas sampingan: Imam Masjid Hadhari, Jertih

Menurutnya, ia bukan kelemahan atau pasrah tanpa usaha, tetapi melambangkan keimanan yang mendalam terhadap ketentuan Ilahi.

“Ketabahan pula adalah kesinambungan daripada kesabaran iaitu kemampuan untuk terus melangkah meskipun jalan di hadapan penuh duri dan luka.
“Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 153:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat; sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Masjid Hadhari, Jertih, Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, ulama muktabar seperti Imam Ahmad bin Hanbal yang disebat kerana mempertahankan akidah, dan Imam Nawawi yang hidup zuhud demi ilmu, semuanya berdiri teguh atas asas sabar dan tabah.

Katanya, ketibaan jenazah 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik, Perak di pekarangan Masjid Hadhari baru- baru ini amat menghibakan namun ketabahan ibu bapa dan ahli keluarga mereka amat tinggi.

“Pada masa sama terserlah hikmah dari rentetan peristiwa duka bahawa masjid ini bukan sekadar tempat sujud semata, tetapi menjadi pusat pengurusan soal hidup dan mati selain pertumbuhan nilai-nilai rohani dan sosial.

“Apabila seorang Muslim melangkah ke masjid, dia sedang mendidik hatinya untuk tunduk dan taat. Di situlah dia belajar erti menunggu giliran dalam saf, merendahkan diri dalam sujud, dan sabar dalam menghadam ilmu yang disampaikan oleh para asatizah. Ini adalah sekolah rohani yang membina watak,” katanya.

Muhammad Izuddin yang juga Imam masjid Hadhari berkata, masjid juga berperanan sebagai tempat mencari kekuatan kolektif, apabila diuji di mana umat tidak bersendirian melalui detik duka apabila sifat ketabahan diperkuat melalui ukhuwah.
Seperti sabda Nabi SAW:

“Sesungguhnya seorang mukmin bagi mukmin yang lain seperti binaan yang saling menguatkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Katanya, tatkala membincangkan mengenai sabar dan tabah, hati tidak dapat menafikan kesayuan terhadap tragedi yang menimpa 15 mahasiswa UPSI baru-baru ini.

“Mereka pergi dalam perjalanan ilmu—suatu kemuliaan yang tinggi di sisi agama. Doa dan takziah tulus buat seluruh keluarga dan sahabat yang ditinggalkan. Jangan sesekali mengambil kesempatan untuk hasilkan konten dan sebagainya tanpa natijah luhur.

“Kesedihan ini, meski berat ditanggung, harus ‘ditadabbur’ dengan kaca mata rohani. Bahawa dalam setiap takdir Allah, ada hikmah yang menghidupkan hati, menyedarkan kita bahawa dunia ini tempat ujian, bukan destinasi abadi,” katanya.

Muhammad Izuddin berkata, ketabahan para waris yang kehilangan insan tercinta, dan menjadikan kisah mereka sebagai azimat untuk memaknai hidup ini dengan lebih sabar dan teguh perlu dicontohi.
Sesungguhnya, kata beliau, ketabahan bukan diwarisi, tetapi dibentuk oleh hati yang sentiasa kembali kepada Allah SWT.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×