KUANTAN: Lebih 300,000 remaja berusia 13 tahun hingga 17 tahun yang menghisap vape atau rokok elektronik berdepan risiko ketagihan dadah ekoran berleluasanya penjualan perisa dadah tiruan yang boleh dibeli hanya dengan RM1 setitik.
Timbalan Presiden Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia), Muhammad Airdil Zakaria berkata, generasi Z adalah anak muda yang hiperaktif mengikut trend, menyebabkan bilangan penghisap vape dalam kalangan mereka sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, majoriti penghisap vape perisa dadah tiruan ini dalam kalangan remaja berusia 13 tahun kerana mudah terpengaruh dan mahu mencuba.
“Sifir kita di Komited Malaysia, jika ada satu pengguna vape dalam kalangan remaja, akan ada lagi lima lagi di belakangnya yang sudah dipengaruhi.
“Vape ini adalah evolusi daripada penggunaan tembakau sehinggalah ia dikreativitikan lagi kepada generasi terkini dengan pelbagai permintaan yang mudah untuk dipenuhi.
“Daripada permintaan penghasilan perisa-perisa sehinggalah terciptanya penghasilan kepada perisa dadah yang kesannya seakan-akan dadah original. Inilah yang mendorong remaja menggunakan vape perisa dadah tiruan untuk mengetahui dan merasai dengan lebih mendalam serta mencuba dan merasai nikmat dadah sebenar contoh seperti ganja dan syabu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan dadah dan vape dalam kalangan anak-anak perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan masa depan generasi muda, khususnya anak-anak Melayu yang dilihat paling terkesan.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan belum dapat diselesaikan sehingga kini walaupun berpuluh tahun dibincangkan untuk mencari kaedah menanganinya.
Muhammad Airdil yang juga Pengurus Program Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) Kuantan berkata, selalunya pengguna vape perisa dadah sintetik atau eksotik ini tidak berada di lapangan.
“Mereka ini tidak duduk di merata-rata tempat, golongan ini lebih cenderung berada di bilik atau di rumah,” katanya.
Katanya, penggunaan vape terutama yang mengandungi bahan-bahan psikoaktif atau ketagihan seperti cendawan halusinogenik, boleh mendatangkan kesan buruk yang serius baik daripada segi kesihatan mental dan fizikal.
“Pengambilan bahan ini boleh menyebabkan ketagihan, kerosakan otak dan risiko kesihatan yang lebih luas serta menjejaskan kehidupan sosial dan masa depan remaja terbabit.
“Kita pernah ada kes pengguna vape eksotik, cendawan yang datang ke pusat harian lelaki kita di Kuantan, dia khayal dan tidak boleh bergerak seperti sedang tidur,” katanya.
Sementara itu, katanya, penggunaan vape ketika ini tidak mempunyai garis panduan dan kawalan untuk penjualan tidak seperti tembakau.
“Sebab itu penjualannya berberleluasa dan salah guna pakai terutama oleh remaja. Nak dapat pun mudah, hanya di hujung jari. Biasanya cecair eksotik ini dijual dalam botol yang tiada label, ia kosong sahaja botolnya,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu ada keputusan untuk masyarakat dan disertakan dengan penguatkuasaan jika penggunaan rokok elektronik tersebut diharamkan.
“Tetapi jika sesuatu perkara itu akan mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda dengan situasi kehidupan yang tertekan, apa yang haram akan tetap diusahakan bagi yang inginkan keuntungan,” katanya.-UTUSAN.










