Gaya tenang inspirasi bumi kanggaru

Gaya tenang inspirasi bumi kanggaru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat kediaman milik Norazila Azali terasa seolah-olah melangkah ke dalam helaian majalah dekorasi berkelas tinggi, namun tetap terasa dekat dan bersahaja.

Gabungan konsep Muji dan rumah ladang moden yang diterapkan olehnya bukan sahaja menjadikan rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,800 kaki persegi ini kelihatan lebih estetik, malah menghadirkan aura tenang yang mendamaikan.

Minatnya terhadap dekorasi mula bercambah sewaktu menetap di Australia selama tiga tahun pada 2021 lalu.

“Saya terinspirasi dengan cara dekorasi rumah sahabat-sahabat dari Australia yang guna warna pastel, neutral dan sangat mementingkan pencahayaan semula jadi,” katanya kepada Seri.

Daripada situlah wanita berusia 39 tahun ini mula meneroka platform seperti Pinterest, Instagram serta berkongsi pandangan bersama komuniti peminat dekorasi.

Elemen penting seperti pemilihan warna natural, perabot kayu, tekstur fabrik polos dan corak yang tidak keterlaluan memainkan peranan dalam menyatukan konsep ini.

“Pemilihan perabot, barangan hiasan, warna dan corak memainkan peranan dalam menonjolkan konsep dekorasi ini,” katanya.

ENAM BULAN CIPTA SUASANA
Dekorasi bukan sekadar meletakkan perabot cantik, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana.

Proses itu mengambil masa kira-kira enam bulan, termasuk ubah suai kecil, susun atur semula ruang dan pencarian perincian dekorasi yang sesuai.

Hasilnya? Sebuah rumah yang bukan sahaja cantik daripada segi visual, malah menawarkan ketenangan minda.

Menurut Norazila, salah satu kelebihan konsep gabungan ini adalah ketahanannya terhadap perubahan trend.

“Dekorasinya tidak cepat lapuk. Warna-warna natural menjadikan ruang kelihatan luas, bersih dan mendamaikan. Konsep ini mewujudkan rumah yang tenang tetapi tidak kosong, hangat tetapi tidak serabut,” ujarnya.

Ditanya ruang paling digemari, Norazila tanpa ragu menyebut ruang tamu dan dobi.

“Ruang tamu adalah nadi rumah. Di situlah kami sekeluarga berkumpul dan meluangkan masa bersama. Ia juga menjadi ruang pertama yang menyambut tetamu,” katanya.

Sementara itu, ruang dobi pula menyimpan nilai sentimental dan direka dengan penuh fungsi serta estetika.

Pemilihan warna juga bukan secara sembarangan. Wanita ini hanya menggunakan warna-warna natural untuk keseluruhan konsep.

Namun, untuk ruang makan, Norazila lebih gemar bermain dengan warna terang bagi menambah seri dan tenaga pada suasana.

“Menjaga rumah dengan konsep begini tidak susah. Kuncinya ialah konsisten dan elak berlebihan.

“Dalam konsep rumah ladang, tekstur kayu kasar atau calar pun dianggap estetik. Jadi tidak perlu kelihatan terlalu sempurna,” katanya yang turut aktif sebagai pencipta kandungan dalam bidang dekorasi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×