DUBAI: Negara-negara Teluk semakin bimbang kemungkinan berlakunya pencemaran radiasi serta serangan balas sekiranya Amerika Syarikat (AS) atau Israel melancarkan serangan terhadap fasiliti nuklear Iran, yang terletak berdekatan dengan perairan dan ibu negara mereka.
Di Oman, penduduk menerima pesanan kecemasan melalui aplikasi mesej yang memberikan panduan keselamatan sekiranya berlaku insiden kebocoran nuklear dengan mereka dinasihatkan segera masuk ke ruang tertutup tanpa tingkap, menutup semua pintu dan tingkap dengan ketat serta mematikan sistem pendingin hawa dan pengudaraan bagi mengelak pendedahan kepada radiasi.
Bahrain pula mengaktifkan 33 buah pusat perlindungan kecemasan dan menguji sistem siren secara menyeluruh di seluruh negara, menurut agensi berita rasmi pada Selasa.
Ketakutan terhadap kemungkinan pencemaran radioaktif meningkat sejak seminggu lalu, dengan beberapa media Asia Barat menerbitkan panduan keselamatan berkaitan kebocoran radiasi.
Meskipun Iran memperbaiki hubungannya dengan negara jiran Arab, republik itu tetap memberikan amaran tersirat kepentingan AS di Teluk akan menjadi sasaran sekiranya negara itu diserang di mana Bahrain misalnya menjadi tuan rumah kepada Komando Pusat Tentera Laut AS yang berkemungkinan menjadi sasaran.
Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang merangkumi Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertindak pantas dengan mengaktifkan Pusat Pengurusan Kecemasan berpusat di Kuwait bagi memastikan langkah-langkah pencegahan diambil di peringkat alam sekitar dan radiasi.
Kebimbangan semakin meningkat memandangkan hampir 60 juta penduduk negara-negara Teluk bergantung sepenuhnya kepada air laut yang dinyahgaram dari Teluk Parsi untuk keperluan harian seperti minuman dan cucian.









