TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengundang kemarahan rakyatnya apabila menyamakan penangguhan majlis perkahwinan anak lelakinya dengan penderitaan rakyat yang berdepan serangan peluru berpandu dari Iran.
Dalam kenyataan yang disiarkan secara langsung kepada media, Netanyahu cuba menunjukkan kesusahan yang ditanggung oleh keluarganya dengan menyatakan perkahwinan anaknya, Avner
Netanyahu, terpaksa ditangguhkan buat kali kedua demi faktor keselamatan, dan turut menyebut kekecewaan yang dirasai oleh tunang anaknya serta isterinya, Sara Netanyahu.
“Setiap daripada kita menanggung pengorbanan peribadi, dan keluarga saya juga tidak terkecuali.
“Ini adalah kali kedua anak saya Avner terpaksa membatalkan majlis perkahwinannya akibat ancaman keselamatan. Ia juga satu pengorbanan buat tunangnya, dan saya ingin nyatakan isteri saya, Sara, seorang wira yang turut menanggung beban ini,” ujarnya
Kenyataan Netanyahu itu pantas mendapat reaksi sinis dan kecaman hebat dalam kalangan rakyat Israel, khususnya dalam media sosial berbahasa Hebrew, yang melihat kenyataan tersebut sebagai tidak peka terhadap realiti sebenar rakyat.
Majlis perkahwinan Avner asalnya berlangsung pada November lalu, namun ditangguhkan sebab keselamatan sebelum dijadualkan semula pada Isnin depan.
Netanyahu dijangka mengambil cuti untuk menghadiri majlis tersebut, yang dipercayai turut mendorong kepimpinan Iran menjadi kurang berjaga-jaga terhadap serangan udara mengejut Israel.
Kenyataan Netanyahu itu mencetuskan reaksi keras daripada pelbagai pihak yang meluahkan perasaan marah tersebut di platform X.









