MOSCOW: Russia mengeluarkan amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak memberikan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Israel dalam perang dengan Iran, kerana tindakan itu dikhuatiri menggugat kestabilan seluruh rantau Asia Barat.
Amaran itu disuarakan susulan perkembangan serius dalam perang berkenaan, yang menyaksikan ketegangan semakin meningkat sejak Israel melancarkan serangan udara terhadap beberapa tapak nuklear utama Iran pada 13 Jun lalu.
Serangan itu dibalas oleh Iran melalui pelancaran peluru berpandu dan dron ke bandar-bandar utama Israel seperti Tel Aviv, Ramat Gan dan Beersheba.
Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov, berkata sebarang campur tangan ketenteraan oleh Washington dalam konflik tersebut hanya akan memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang.
“Langkah seperti itu akan secara radikal mengganggu kestabilan keseluruhan rantau,” katanya dalam satu kenyataan kepada agensi berita Interfax.
Ketua Perkhidmatan Risikan Luar Rusia (SVR), Sergei Naryshkin, turut menganggap situasi semasa antara Iran dan Israel sebagai “amat kritikal” dan menasihatkan AS tidak mempertimbangkan sebarang tindakan bersifat spekulatif, termasuk kerjasama ketenteraan dengan Israel.
Sebelum ini, laporan media memetik sumber yang terlibat dalam perbincangan dalaman AS menyatakan Presiden Donald Trump dan pasukannya meneliti beberapa pilihan termasuk menyertai Israel dalam melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran.
Pada 17 Jun lalu, Trump turut mencetuskan kontroversi apabila secara terbuka mencadangkan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dibunuh. Namun, beliau kemudian menarik balik kenyataan tersebut.
Serangan mengejut Israel terhadap tapak nuklear Iran dikecam keras oleh Russia, yang menyifatkannya sebagai tindakan tidak berasas serta melanggar undang-undang antarabangsa.
Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang sebelum ini menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama Iran pada Januari lalu, turut menggesa kedua-dua negara agar segera menghentikan permusuhan dan kembali ke meja rundingan demi kestabilan serantau.









