Stor kumpul buah sawit jadi lokasi seleweng LPG - Utusan Malaysia

Stor kumpul buah sawit jadi lokasi seleweng LPG

LILIS SASLINDA Pornomo melihat tong LPG yang dirampas di sebuah stor menyimpan buah kelapa sawit di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Machap, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Berselindung di sebalik stor pengumpulan buah kelapa sawit, kegiatan dua individu menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) terbongkar dalam serbuan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam.

Sebanyak 1,176 tong LPG berkapasiti 14 kilogram dan sebuah lori tangki dengan muatan 4,000 kilogram LPG dengan nilai keseluruhan RM200,000 dirampas dalam serbuan tersebut.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kejayaan itu hasil daripada risikan selama seminggu anggotanya selepas meragui aktiviti di kawasan itu.

“Dalam serbuan pukul 8 malam itu, masing-masing seorang lelaki tempatan dan lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 30-an ditahan. 

“Siasatan turut merangkumi semua aspek, termasuk dari mana  tong LPG 14 kilogram ini diperoleh sehingga kemana ia akan dihantar.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ditemui pemberita selepas meninjau stor menyimpan kelapa sawit di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Machap hari ini.

Sekiranya melibatkan syarikat, denda sehingga RM3 juta atau penjara selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan, jika sabit kesalahan.

KPDN Johor sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan maklumat daripada orang awam dalam membanteras aktiviti penyelewengan dan salah guna barangan kawalan bersubsidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×