Trump ragui kemampuan bom bunker dapat musnahkan loji nuklear Iran - Utusan Malaysia

Trump ragui kemampuan bom bunker dapat musnahkan loji nuklear Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menangguhkan kelulusan serangan terhadap Iran berikutan keraguan terhadap keupayaan senjata utama yang dirancang untuk digunakan iaitu bom GBU-57 ‘bunker buster’ seberat 15 tan.

The Guardian melaporkan, perbezaan pandangan tercetus antara pegawai kanan White House dan Pentagon berhubung sama ada senjata itu benar-benar mampu memusnahkan kemudahan nuklear Iran yang kebal di Fordow, yang terletak jauh di bawah tanah.

Trump secara peribadi menyatakan kebimbangan sebarang tindakan ketenteraan hanya akan dibenarkan sekiranya terdapat jaminan penuh bahawa bom tersebut dapat menghancurkan keseluruhan tapak pengayaan nuklear itu.

“Ini bukan serangan sekali selesai,” kata Mejar Jeneral Bersara Randy Manner, bekas Timbalan Pengarah Defense Threat Reduction Agency (DTRA).

“Fordow boleh dibina semula dengan cepat. Ia mungkin hanya menangguhkan program itu enam bulan hingga setahun. Ia kedengaran hebat untuk TV, tetapi tidak realistik,” katanya kepada The Guardian.

Walaupun pegawai pertahanan memberi jaminan bahawa GBU-57 mungkin dapat meruntuhkan terowong atau memusnahkan sebahagian sistem Fordow, Trump kekal skeptikal dan masih belum memberi lampu hijau.

Sumber juga mendedahkan Trump sedang mempertimbangkan sama ada ancaman serangan secara langsung dari AS sudah memadai untuk memaksa Tehran kembali ke meja rundingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×