REFORMASI dalam pengurusan wakaf perlu dipertimbangkan melalui inisiatif inovatif dalam pengurusan dana mahupun projek wakaf seperti penerapan teknologi blockchain dalam operasi dan pentadbiran wakaf.
Blockchain merupakan teknologi lejar yang bersifat telus, kekal dan tidak boleh diubah.
Sebagai contoh, jika seseorang mewakafkan sebidang tanah untuk tujuan pendidikan, maklumat tersebut boleh dimasukkan ke dalam sistem blockchain dengan jelas, termasuk siapa penerimanya, siapa pengurusnya dan bagaimana tanah itu digunakan dari semasa ke semasa. Sekiranya berlaku sebarang pemindahan hak milik, ia akan direkod dan dapat dikesan semula.
Ini secara langsung dapat menutup ruang kepada sebarang bentuk manipulasi atau salah guna kuasa. Lebih menarik, kontrak pintar yang berasaskan blockchain membolehkan proses pengurusan wakaf berlaku secara automatik berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pewakaf. Ini bermakna, jika pewakaf menetapkan agar dana hanya boleh digunakan untuk yuran pengajian pelajar miskin, sistem akan memastikan dana itu hanya dibayar apabila syarat tersebut dipenuhi – tanpa campur tangan manusia.
Penggunaan teknologi ini bukanlah sesuatu yang baharu di peringkat global. Negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi sudah memulakan inisiatif platform wakaf digital berdasarkan blockchain dengan matlamat meningkatkan ketelusan dan memodenkan pengurusan harta Islam.
Malaysia sebagai sebuah negara yang menjuarai kewangan Islam seharusnya lebih proaktif dalam meneroka pendekatan ini. Kita tidak boleh terus bergantung kepada sistem konvensional yang terbukti rapuh dan mudah dimanipulasi.
Inovasi digital bukan semata-mata soal teknologi, tetapi berkenaan pemulihan amanah dan penghormatan terhadap niat pewakaf.
Teknologi seperti blockchain boleh menjadi alat penting dalam menghidupkan kembali semangat asal institusi wakaf iaitu satu bentuk sumbangan kekal untuk manfaat umat dengan cara yang moden, diyakini dan sesuai dengan cabaran semasa.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SITI SARA IBRAHIM
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










