Impak pemanasan global makin ekstrem

Impak pemanasan global makin ekstrem

CORAK dan kesan terhadap pengaruh monsun kini semakin kompleks dan membimbangkan akibat pemanasan global yang impaknya semakin ekstrem dan tidak menentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kesan pengaruh monsun yang kini tidak menentu dan kompleks akibat pemanasan global memberi kesan kepada keselamatan makanan, kesihatan awam dan kestabilan ekonomi di rantau ini.

Pensyarah Fakulti Kejurute­raan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, terdapat beberapa kesan pemanasan global terhadap monsun di Asia Tenggara termasuk Malaysia antaranya seperti perubahan tempoh dan keamatan monsun.

Katanya, kajian oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan bahawa dalam dekad terakhir, Monsun Timur Laut mencatatkan hujan lebat yang lebih ekstrem berbanding sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujar beliau, Monsun Barat Daya pula menyaksikan keadaan bertambah kering dalam tempoh masa lebih panjang sekali gus mengundang risiko jerebu dan kekurangan air.

NORAZIAN MOHAMED NOOR

“Kesan akibat cuaca ekstrem tersebut yang berpunca daripada gangguan corak Monsun Timur Laut menyaksikan Malaysia me­ngalami banjir besar pada Disember 2021 yang menyaksikan lebih 70,000 penduduk terjejas.

“Kemarau teruk pada 2014 dan 2019 dengan tahap empangan Semenyih dan Langat menurun ke paras kritikal pula berlaku semasa Monsun Barat Daya terlalu panjang dan kering,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, terdapat beberapa senario dunia dan permasalahan sejagat kesan daripada perubahan monsun ini antaranya seperti krisis air dan pertanian.

Katanya, Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) antaranya menjangka lebih 40 peratus kawasan pertanian di Asia akan terjejas oleh tekanan air menjelang 2050 akibat perubahan corak monsun.

Ujar beliau, di India dan Bangladesh pula, kelewatan Monsun Barat Daya menyebabkan kegagalan tanaman padi dan gandum yang memberi kesan kepada bekalan makanan global.

“Selain itu, kesan kepada je­rebu rentas sempadan. Sebelum tahun 2020, Monsun Barat Daya sering dikaitkan dengan kejadian jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara terutama di Malaysia.

“Pada 2015 dan 2019 berlaku jerebu teruk akibat pembakaran terbuka di Indonesia menyelubu­ngi Malaysia dan Singapura semasa Monsun Barat Daya. Ketika itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor antaranya mencecah lebih 200 iaitu dikategorikan sangat tidak sihat.

“Laporan oleh Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) pula menyatakan bahawa lebih 15 juta penduduk Asia Tenggara terjejas akibat jerebu antara tahun 2010 hingga 2020,” katanya.

Menurut Norazian, dalam konteks pemanasan global, corak dan kesan monsun kini dilihat semakin kompleks dan membimbangkan.

Ujarnya, monsun adalah fenomena angin bermusim yang berlaku akibat perbezaan suhu antara daratan dan lautan.

Ujar beliau, jika berada dalam keadaan iklim yang stabil, Monsun Timur Laut dan Barat Daya di Malaysia memainkan peranan penting dalam membawa hujan seperti di Pantai Timur atau kekeringan seperti di Pantai Barat.

Bagaimanapun katanya, pemanasan global telah mengganggu keseimbangan tersebut.

“Suhu daratan dan lautan telah meningkat secara tidak sekata menyebabkan pola tekanan atmosfera berubah. Ia memberi kesan kepada arah, kekuatan dan tempoh monsun serta menyebabkan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap.

“Laporan IPCC (AR6, 2023) antaranya menunjukkan bahawa Asia Tenggara telah mengalami peningkatan suhu purata sebanyak 1.1 darjah Celsius sejak era pra-industri dan ini telah memberi kesan langsung kepada kestabilan monsun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini