KUALA NERUS: Tindakan berani seorang wanita bersama empat rakan melaporkan kesalahan majikannya kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Terengganu membolehkan mereka menerima pampasan dan ganti rugi antara RM5,000 hingga RM8,000 seorang sekali gus memberi pengajaran kepada bekas majikannya.
Nur Amira (bukan nama sebenar), 33, berkata, dia bertindak tegas selepas diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam walaupun tempoh percubaan tiga bulan belum berakhir.
Katanya, dia bekerja di sebuah syarikat di daerah ini selama dua bulan setengah sebelum diberhentikan dengan alasan syarikat mengalami kerugian.
“Saya dan empat lagi rakan sekerja menerima nasib sama apabila menerima notis pemberhentian kerja serta-merta ketika hadir ke pejabat pada 18 Mei lalu.
“Pada mulanya saya bertanya kepada bahagian sumber manusia syarikat itu mengenai notis tersebut namun mereka hanya menjawab sebab syarikat rugi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Nur Amira berkata, dia mendapatkan pandangan daripada rakan yang bekerja dalam bidang sumber manusia dan setelah meneliti kontrak, sebagai pekerja, mereka berhak membuat tuntutan.
Katanya, dia bersama rakan-rakan senasib memilih membuat laporan di JTK negeri bagi mendapatkan keadilan mengikut undang-undang.
“Saya dimaklumkan situasi sama pernah dialami pekerja terdahulu namun tiada siapa berani melaporkan kepada pihak berwajib. Jadi tidak salah kita bertindak jika ditindas majikan dan jangan takut jika kita tidak melanggar sebarang terma dalam kontrak,” katanya.
Proses kes mereka hanya mengambil masa beberapa minggu sebelum perbicaraan dijalankan.
“Syukur kemenangan milik kami dan JTK mengarahkan bekas majikan menjelaskan pampasan dan ganti rugi kepada kami berlima, minggu lalu.
“Ini memberi pengajaran kepada majikan supaya tidak sewenang-wenangnya menganiaya pekerja dan saya harap sesiapa yang berdepan situasi sama, berani tampil membuat laporan kepada pihak berwajib,” katanya. – UTUSAN







