KUALA LUMPUR: Kerajaan sasar menjana pendapatan tambahan kira-kira RM10 bilion setahun hasil daripada peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, pelaksanaan skop cukai berkenaan dalam usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memastikan perbelanjaan sosial serta pembangunan kekal mampan dalam jangka panjang.
“Langkah itu sebahagian daripada strategi kerajaan Madani untuk memperluas asas cukai negara yang kini berada pada paras rendah iaitu 12.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), antara yang terendah di rantau ini.
“Permintaan terhadap perbelanjaan kerajaan meningkat setiap tahun. Daripada bantuan tunai, penjagaan kesihatan, pendidikan, hinggalah kepada penyelenggaraan infrastruktur asas. Maka, kita perlu memperkukuh hasil tanpa membebankan rakyat secara tidak wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Fireside Chat: Social Society Nets: Securing the Future sempena Sasana Symposium 2025 di Sasana Kijang di sini, semalam.
Mengulas mengenai perdebatan yang timbul membabitkan cukai ke atas barangan import seperti buah-buahan, Johan Mahmood berkata, pendekatan kerajaan tetap menimbang keperluan rakyat berdasarkan corak perbelanjaan sebenar, namun tetap perlu membuat pertimbangan dasar fiskal jangka panjang.
“Kita tidak boleh puaskan semua pihak dalam setiap keputusan. Tapi prinsip utama kita adalah hasil negara perlu ditambah secara progresif, dengan meminimumkan kesan kepada rakyat biasa.
“Pada masa sama, kerajaan mengekalkan subsidi bersasar, contohnya dalam penggunaan elektrik dan diesel. Sebahagian besar isi rumah masih menikmati tarif subsidi, manakala pengguna besar dan syarikat besar dikenakan kadar yang lebih hampir kepada pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh cadangan pelaksanaan cukai kekayaan, beliau berkata, meskipun langkah itu dilihat dapat memperluas asas cukai negara dan menangani jurang kekayaan, ia berdepan pelbagai cabaran dari segi pentadbiran.
Katanya, isu perlindungan sosial dan percukaian bukan hanya dialami Malaysia, malah pelaksanaan cukai kekayaan jauh lebih rumit berbanding cukai pendapatan.
“Cukai pendapatan dan cukai penggunaan berpaksikan transaksi tetap yang boleh dijejak. Contohnya, syarikat membayar gaji dan ia direkodkan, jadi pelaksanaan cukai lebih mudah.
“Begitu juga cukai penggunaan yang berdasarkan transaksi ekonomi, yang boleh dikesan melalui pendaftaran perniagaan,” ujarnya.
Tambahnya, cabaran pelaksanaan cukai kekayaan lebih besar kerana pengumpulan data tepat atau pengisytiharan harta tidak mudah dilakukan.
“Walaupun idea cukai kekayaan dilihat menarik, ia amat mencabar dari sudut pentadbiran.
“Malah, bagi program bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kerajaan masih bergantung kepada penunjuk pendapatan kerana data pendapatan dan transaksi lebih mudah diperoleh berbanding data kekayaan peribadi,” katanya.-UTUSAN










