DALAM era digital dan ekonomi berasaskan kemahiran, persoalan sama ada kelayakan akademik terutamanya daripada institusi pengajian tinggi (IPTA) masih relevan menjadi perbincangan penting.
Universiti awam memainkan peranan penting dalam memacu penyelidikan dan kemajuan teknologi negara. IPTA menyumbang kepada matlamat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi melalui inovasi. Pelajar bukan sahaja terdedah kepada pengetahuan terkini, malah berpeluang menyertai projek penyelidikan bermakna.
Selain itu, institusi ini membentuk pelajar menjadi individu yang berfikiran kritikal, berdaya saing dan berpengetahuan luas. Mereka juga berperanan dalam memelihara warisan budaya dan bahasa tempatan.
Dalam masa sama menyediakan peluang untuk membina jaringan dengan pensyarah, rakan sebaya dan pihak industri.
Pun begitu, sebahagian graduan menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran kerja. Kurikulum yang kurang menekankan kemahiran praktikal menyebabkan majikan kurang yakin terhadap kebolehpasaran mereka.
Di tambah pula kursus dalam talian, latihan vokasional dan persijilan jangka pendek semakin diterima sebagai laluan sah untuk mendapatkan kemahiran. Ini mencabar status universiti sebagai laluan utama ke arah kejayaan.
Majikan pula lebih menitikberatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, penyelesaian masalah dan keupayaan bekerja dalam pasukan. Universiti perlu memberi lebih fokus kepada pembangunan holistik ini.
IPTA terpaksa berdepan isu peruntukan dan sumber yang mungkin mengehadkan pelaksanaan inovasi dan peningkatan mutu pengajaran.
Dalam masa sama, semakin ramai pelajar membuka mata terhadap laluan alternatif seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini kerana lebih menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih cepat dan praktikal selepas tamat pengajian.
Trend ini mencerminkan perubahan landskap pendidikan negara yang lebih inklusif, tidak lagi meletakkan ijazah universiti sebagai satu-satunya laluan kejayaan. Namun demikian, dalam keghairahan memilih, pelajar memerlukan bimbingan yang jelas, berasaskan minat, potensi diri dan realiti industri semasa.
Pihak sekolah, guru kaunseling, ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam membangkitkan semangat pelajar agar mereka membuat pilihan bukan sekadar berdasarkan tekanan sosial atau janji peluang pekerjaan semata-mata, tetapi juga kesesuaian diri, keinginan untuk terus belajar serta berkembang dalam bidang yang diminati.
Sikap keterbukaan, kesediaan untuk mencuba laluan baharu dan kefahaman tentang kekuatan diri adalah kunci untuk membina masa hadapan yang mampan.
IPTA masih memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan individu. Namun, ia perlu ditakrifkan semula agar sejajar dengan kehendak semasa iaitu menggabungkan kekuatan akademik dengan keperluan pasaran dan keperluan sebenar pelajar.
Kelayakan atas kertas bukan lagi satu-satunya ukuran kebolehan. Sebaliknya, kombinasi antara pendidikan formal, kemahiran praktikal, pengalaman dan sikap ingin belajar berterusan adalah resipi kejayaan masa kini dan hadapan.
Kita juga perlu mendidik bakal pelajar generasi baharu untuk menjadi ahli politik berdedikasi, yang memahami tanggungjawab mereka kepada rakyat dan negara. Bukan sekadar melenting dan meninggi suara dalam Parlimen tetapi tidak menghasilkan perubahan bermakna.
IPTA dan universiti perlu melahirkan lebih ramai pemikir yang rasional dan berjiwa rakyat. Ini memerlukan barisan pensyarah, ahli pemikir serta penyampai ilmu yang faham realiti semasa serta mempunyai wawasan untuk membentuk masa hadapan lebih baik melalui generasi muda.-UTUSAN
SAMIHA MOHD. SALLEH
Johor










