Keselamatan menaiki bas adalah hak, bukan pilihan

Keselamatan menaiki bas adalah hak, bukan pilihan

JIKA gagal bertindak sekarang untuk menoktahkan kemalangan bermakna kita hanya menunggu masa untuk menulis tajuk berita yang sama, dengan angka korban yang berbeza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI menyayat hati yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik bukan sekadar statistik kemalangan yang dilaporkan di dada akhbar. Ia adalah berita sedih yang mendedahkan kelemahan dalam sistem keselamatan pengangkutan awam negara.

Kita berduka, namun lebih mengecewakan apabila mengetahui tragedi ini boleh dicegah, jika sistem wajib kawalan keselamatan pengangkutan awam dikuatkuasakan. Sudah tiba masanya kita mengakui keselamatan adalah hak setiap penumpang, bukan pilihan kepada bajet atau kehendak pengusaha dengan alasan implikasi kos yang membebankan.

Dalam penerbangan, kotak hitam menjadi standard keselamatan asas. Negara jiran seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun sudah lama mewajibkan peranti ini pada bas sekolah dan pengangkutan awam. Di Eropah pula, Rakaman Data (EDR) diwajibkan bagi semua kenderaan baharu bermula 2022.

Malaysia pula? Sejak 2014, wujud kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) (kini Agensi Pengangkutan Awam Darat, APAD) sedang mengkaji pemasangan kotak hitam. Namun, selepas lebih sedekad, kajiannya belum diterjemah menjadi dasar sementara nyawa terus menjadi pertaruhan di jalan raya.

Satu lagi alat penting yang sering diketepikan ialah penghad laju. Ia merupakan sistem elektronik bagi menghadkan kelajuan maksimum kenderaan kepada 90 kilometer (km)/j untuk bas dan 80 km/j bagi lori. Di atas kertas, ia diwajibkan bagi kenderaan perdagangan berat di bawah arahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan APAD.

Namun, pelaksanaan di lapangan sangat mengecewakan. Banyak pengusaha memintas atau mematikan fungsi penghad laju demi mengejar masa, sekali gus membahayakan penumpang. Tambahan pula, sistem ini tidak diintegrasi dengan pemantauan Sistem Pengesanan Global (GPS) atau kotak hitam secara automatik, menyebabkan pelanggaran kelajuan sukar dikesan secara masa nyata.

Tiada audit berkala serta amaran langsung kepada pengendali menyebabkan fungsi penghad laju tinggal nama. Padahal, jika ia berfungsi sempurna, banyak nyawa boleh diselamatkan.

Kepesatan dan kemajuan teknologi terkini menjadi kos sebuah kotak hitam moden tidak lagi mahal seperti dahulu. Pemasangan kotak hitam dengan sistem pemantauan digital lengkap, termasuk sensor brek, GPS, rakaman kabin dan suara pemandu, serta sistem penghad laju akan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan awam.

Peranti ini juga mampu membantu syarikat memantau prestasi pemandu, mengelakkan kemalangan dan menyelesaikan kes mahkamah dengan cepat kerana bukti teknikal tersedia. Ia adalah pelaburan jangka panjang, bukan beban.

Demi merealisasikan perkara ini, kerajaan boleh menyediakan insentif seperti potongan cukai, subsidi pemasangan atau skim sewa beli. Saranan ini bukan kali pertama dikemukakan, malahan ia berulang terutama selepas tragedi besar. Kementerian yang bertanggungjawab wajar tekad membuat keputusan dasar yang berani.

Nyawa 15 pelajar yang terkorban tidak akan kembali. Namun, kita boleh memilih untuk menjadikan tragedi ini sebagai pemangkin perubahan. Jika kita gagal bertindak sekarang, kita hanya menunggu masa untuk menulis tajuk berita yang sama, dengan angka korban yang berbeza.

Keselamatan bukan barang mewah, bukan tambahan, bukan pilihan, ia adalah hak asasi setiap insan yang melangkah masuk ke dalam mana-mana pengangkutan awam.-UTUSAN

FAIRUS MUHAMAD DARUS
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×