MENJELANG 2030, dianggarkan 15 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas. Perubahan demografi membawa implikasi besar kepada kehidupan masyarakat serta corak ekonomi negara.
Kini keutamaan beralih kepada penjagaan kesihatan, makanan berkhasiat serta tempat tinggal yang sesuai untuk golongan warga emas.
Bagi ramai warga emas, perbelanjaan untuk ubat-ubatan, alat bantuan kesihatan serta perkhidmatan penjagaan menjadi antara komponen utama dalam bajet harian.
Permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan dan penjagaan warga emas dijangka meningkat secara mendadak. Hospital, farmasi, pusat jagaan harian serta perkhidmatan kesihatan di rumah akan melihat lonjakan permintaan yang mungkin melebihi kapasiti sedia ada. Dalam masa sama, sistem kesihatan awam juga akan menghadapi tekanan yang lebih hebat, terutamanya jika tidak ditingkatkan secara proaktif.
Dengan semakin ramai warga emas memerlukan penjagaan berterusan, beban kewangan dan emosi terletak di bahu generasi muda. Jika situasi ini tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menjejaskan keseimbangan kerja, kehidupan serta produktiviti keseluruhan negara. Kita juga perlu mengakui sokongan sosial terhadap golongan ini masih belum mencukupi di banyak peringkat.
Pun begitu, terdapat juga peluang besar yang boleh dimanfaatkan pelbagai pihak. Usahawan boleh meneroka ruang baharu seperti penghasilan makanan khas yang mesra warga emas, aplikasi digital untuk memantau kesihatan, teknologi rumah pintar yang meningkatkan keselamatan dan keselesaan warga emas serta pakej pelancongan santai yang sesuai dengan keperluan. Di samping itu, sektor pekerjaan dalam bidang penjagaan juga dijangka berkembang, membuka lebih banyak peluang baharu dalam pasaran kerja.
Semua peluang ini hanya dapat direalisasikan jika negara bersedia. Realitinya, ramai warga emas masih bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terhad, manakala perlindungan kesihatan pula belum mencukupi untuk majoriti golongan ini.
Jika tidak ditangani segera, beban kewangan bukan sahaja akan ditanggung individu dan keluarga, tetapi juga boleh melumpuhkan sistem sosial serta kesihatan negara.
Oleh itu, kerajaan perlu melabur dalam infrastruktur yang mesra warga emas, termasuk menyediakan perumahan yang sesuai, kemudahan awam yang inklusif serta sistem kesihatan yang mampu menampung keperluan populasi berumur ini.
Dalam masa yang sama, sektor swasta harus melihat penuaan penduduk sebagai peluang baharu untuk perniagaan, bukannya satu ancaman.
Individu dan keluarga pula perlu dididik tentang pentingnya perancangan kewangan jangka panjang dan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan yang berterusan. Paling penting, masyarakat perlu menganggap warga emas sebagai aset berharga yang masih mampu menyumbang secara aktif kepada komuniti.-UTUSAN
DR. NURUL AISHAH KHAIRUDDIN
Pusat Asasi Sains,
Universiti Malaya










