Pewaris empayar kosmetik Estee Lauder meninggal dunia pada usia 92 tahun

Pewaris empayar kosmetik Estee Lauder meninggal dunia pada usia 92 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Tokoh perniagaan, Leonard Lauder yang memainkan peranan penting membina jenama Estee Lauder menjadi antara syarikat kosmetik global terkenal, meninggal dunia pada usia 92 tahun.

Menurut kenyataan rasmi syarikat, beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Sabtu, dikelilingi ahli keluarganya.

“Beliau adalah ikon dan perintis dalam industri ini, dihormati di seluruh dunia. Tenaga dan visinya membentuk syarikat kami dan akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” kata Ketua Eksekutif Estee Lauder, Stephane de La Faverie dalam satu kenyataan.

Leonard menyertai syarikat keluarganya pada tahun 1958 dan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selama 17 tahun.

Beliau dikenali sebagai tokoh perunding perniagaan yang hebat dan bertanggungjawab dalam perolehan beberapa jenama terkenal termasuk Clinique, Bobbi Brown dan MAC.

Dilahirkan di New York pada tahun 1933, Leonard merupakan anak sulung kepada pengasas bersama syarikat itu, Estée dan Joseph Lauder.

Sebelum menyertai syarikat keluarganya, beliau berkhidmat sebagai leftenan dalam Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).

Ketika Leonard mula menyertai dunia perniagaan, syarikat tersebut mencatat jualan tahunan kurang daripada AS$1 juta (RM4.24 juta).

Namun, di bawah kepimpinannya, Estee Lauder berkembang menjadi jenama global dengan kehadiran di 150 negara dan mencatat jualan sebanyak AS$15.6 bilion (RM66.19 bilion) tahun lalu.

Leonard memainkan peranan utama dalam usaha mengembangkan syarikat itu ke pasaran Eropah dan Asia termasuk menubuhkan makmal penyelidikan dan pembangunan pertama jenama tersebut.

Beliau juga aktif dalam bidang kebajikan kesihatan dan merupakan Pengerusi Kehormat Lembaga Pengarah Yayasan Penyelidikan Kanser Payudara.

Pada tahun 1995, beliau membawa Estee Lauder ke pasaran saham awam dan harga sahamnya melonjak sebanyak 33 peratus pada hari pertama dagangan di Bursa Saham New York.

Leonard melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 1999, namun kekal aktif dalam syarikat sebagai Pengerusi Emeritus sehingga ke akhir hayatnya.

Menurut senarai bilionair Forbes 2025, Leonard mempunyai anggaran kekayaan sebanyak AS$10.1 bilion (RM42.8 bilion).

Berita pemergian beliau mengundang penghormatan daripada ramai tokoh terkenal termasuk selebriti dan ahli perniagaan.

Pelakon dan model, Elizabeth Hurley yang mendapat peluang peragaan pertamanya melalui syarikat itu meluahkan rasa sedih di laman Instagram.

“Saya memanggilnya ‘Ayah Amerika’ saya dan saya tidak dapat membayangkan dunia tanpa beliau,” katanya.

Ketua Pengarang Forbes Media, Steve Forbes berkata, Leonard menjalani kehidupan yang luar biasa dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat dunia.

Bekas Datuk Bandar New York dan bilionair terkenal, Mike Bloomberg turut menyifatkan legasi Lauder sebagai sesuatu yang akan terus dikenang untuk generasi akan datang.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×