Polis tangkap suspek kes tembak ahli politik Demokrat Minnesota

Polis tangkap suspek kes tembak ahli politik Demokrat Minnesota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Polis Minnesota berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh seorang ahli politik negeri dari Parti Demokrat dan suaminya, selepas operasi pemburuan selama dua hari.

Suspek, Vance Boelter berusia 57 tahun didakwa menyamar sebagai anggota polis sebelum menembak mati wakil rakyat negeri, Melissa Hortman dan suaminya, Mark di rumah mereka awal pagi Sabtu lalu.

Boelter ditahan di Daerah Sibley, sebuah kawasan luar bandar kira-kira sejam dari pinggir bandar Minneapolis, di mana pembunuhan itu berlaku, menurut pihak polis dan pegawai negeri.

“Selepas dua hari gerakan besar-besaran dibuat, pihak polis berjaya menangkap Vance Boelter,” kata Gabenor Minnesota, Tim Walz dalam sidang media.

Polis menyifatkan operasi itu sebagai misi menjejaki penjenayah terbesar dalam sejarah negeri ini melibatkan 20 pasukan khas SWAT dan pelbagai agensi keselamatan.

Timbalan Ketua Peronda Minnesota, Jeremy Geiger berkata, Boelter ditahan tanpa sebarang penggunaan kekerasan.

Sebelum kejadian pembunuhan itu, Boelter turut didakwa menyerang dua Senator Negeri, John Hoffman dan isterinya, Yvette.

Kedua-duanya terselamat dan sedang dirawat akibat kecederaan serius.

“Hoffman dilaporkan sudah selesai menjalani pembedahan terakhir dan sedang dalam proses pemulihan,” kata Walz.

Menurut Senator Amerika Syarikat (AS), Amy Klobuchar, Hoffman ditembak sembilan kali manakala isterinya lapan kali.

Sebuah buku nota yang mengandungi nama-nama ahli politik lain dan senarai sasaran ditemui dalam kereta yang ditinggalkan Boelter di rumah Hortman.

Ketua Biro Siasatan Jenayah Minnesota, Drew Evans berkata, buku itu bukan seperti manifesto biasa.

“Saya bimbang tentang keselamatan semua pemimpin dan organisasi politik.

“Ia bermotif politik, dan jelas ada kaitan dengan isu pengguguran kerana beberapa kumpulan dalam senarai itu ada hubung kait dengannya, menurut apa yang saya dengar mengenai kandungan buku itu. Jadi itu mungkin salah satu motifnya,” kata Klobuchar.

Hortman sebelum ini pernah menjadi Speaker Dewan Perwakilan Minnesota dari 2019 hingga Januari 2025 dan dikenali kerana mempertahankan hak reproduktif wanita melalui dasar negeri, menurut laporan media tempatan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×