Apabila sebut tentang ‘hero’ dalam kehidupan seseorang, lazimnya figura seorang ayah yang muncul di minda.
Lelaki yang bekerja keras, menjadi pelindung, penyokong dan tonggak keluarga.
Namun, ada seorang lagi ‘hero’ yang sering kali dilupakan iaitu wanita.
Sama ada seorang emak, kakak, mahupun diri anda sendiri, wanita adalah ‘hero’ sebenar yang membentuk siapa kita hari ini.
Bagi menyuntik semangat heroik ikonik dalam diri, jenama fesyen terkemuka Carlo Rino memperkenalkan koleksi eksklusif Superman.
Ia menampilkan beg tangan, dompet, kasut dan aksesori yang sesuai digayakan sama ada untuk urusan harian atau tampil bergaya di jalanan.
Setiap koleksi diperbuat daripada nilon berkualiti, dengan ciri paling unik tentulah penggunaan logo Superman yang diberi sentuhan tersendiri mengikut warna.
Siri merah jambu tampil dengan logo tampal dan tag kulit sintetik ceria manakala siri kuning menonjol dengan rekaan logo berlapik dan aura gembira menyerlah.
Untuk gaya klasik, siri kelabu dan biru navy hadir dengan rekaan logo tampal serta tag logam merah yang eksklusif.
Selain itu, koleksi ini turut didatangkan dengan sneakers, topi dan baju T berlogo Superman.

Koleksi arnab comel
Bagi peminat gaya comel dan ceria, anda pasti tertarik dengan koleksi Bun Bun yang menampilkan watak arnab ikonik Carlo Rino dalam rekaan muda dan menyeronokkan.
Koleksi yang bakal dilancarkan bulan depan ini turut menggunakan material sama seperti Superman iaitu nilon.
Ia menampilkan beg tangan bersaiz kecil dan sederhana, dihiasi dengan aksesori beg arnab lembut dan gebu sekali gus menambah sentuhan comel yang pasti mencuri perhatian.
Daripada tona pastel hingga ke perincian manis, koleksi ini membawa semangat ceria dan kebebasan yang sinonim dengan Carlo Rino.
Sementara itu, bagi mereka yang mahukan gaya moden tetapi minimal, koleksi PuzBox Elegant adalah pilihan tepat.
Ia menampilkan rekaan beg tangan yang diinspirasikan oleh bentuk unik, fungsi pintar dan sentuhan sleek.
Ciri paling menonjol dalam koleksi ini ialah panel sisi gaya origami yang boleh diubah suai dan dilebarkan mengikut keperluan.









