AGC fail notis rayuan keputusan lepas dan bebas Yusoff Rawther

AGC fail notis rayuan keputusan lepas dan bebas Yusoff Rawther

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan.

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu dibuat setelah mempertimbangkan keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu yang telah melepaskan dan membebaskan tertuduh Muhammed Yusoff tanpa dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan membabitkan kedua-dua pertuduhan tersebut.

“Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut, jabatan ini telah memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut pada hari ini

“Seksyen 39B(2) Akta 234 memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan manakala seksyen 36(1) Akta 206 memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Muhammed Yusoff yang merupakan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik dilepaskan dan dibebaskan tanpa membela diri daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh yang berusia 32 tahun.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada pukul 10.15 pagi, 6 September tahun sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Oktober 2024, Muhammed Yusoff didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada pukul 9.25 pagi, 6 September 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×